Dharma D’Gaya juarai pertandingan debat Piala Presiden UPKO
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

23 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Pasukan Dharma D’Gaya dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya muncul juara Pertandingan Debat Piala Presiden UPKO yang berlangsung di Dewan Auditorium Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dengan kemenangan itu, pasukan yang dianggotai Ezmal Padu, Nur Aisyah Aqilah Irwan, Said Yasser dan Nurul Syahirah Sabaruddin membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan sijil pencapaian.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden UPKO merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Naib juara disandang pasukan RhetoriGoats dari UMS yang dianggotai Siti Nadjazuldina, Umair Sarip, Ahmad Faiz Zakwan dan Mohamad Fazli Losimin, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala dan sijil.
Tempat ketiga pula dimenangi pasukan Tiga Serangkai Bersatu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diwakili Muhammad Syakhir Ifwat Abdul Karim, Ninexsionre Sulani dan Chin Guan Rong dengan hadiah wang tunai RM1,500.
Pasukan UiTM Cawangan Sabah meraih tempat keempat dan membawa pulang hadiah RM1,000 menerusi penyertaan Mohammad Syafiq Amir, Siti Nurfazuanie Redzuan, Amisha Elyana Isnain dan Maslina Jeferydin.

Selain itu, enam pasukan lain turut menerima saguhati bernilai RM500 setiap pasukan.
Sementara itu, Ezmal Padu daripada pasukan juara diumumkan sebagai Pendebat Terbaik.
Beliau menyifatkan pertandingan itu penting dalam meningkatkan literasi belia terhadap dasar kerajaan dan isu-isu semasa.

“Pertandingan seperti ini wajar diteruskan kerana ia membantu belia, terutamanya di Sabah, mendalami isu semasa serta mengasah kemampuan kepimpinan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada penganjur atas penganjuran pertandingan iti.
Seorang lagi peserta, Said Yasser, menyokong agar pertandingan debat itu dijadikan acara tahunan.
“Pertandingan ini banyak memberi manfaat. Saya berasa gembira kerana pasukan saya berjaya meraih kemenangan dan ini adalah debat pertama saya sertai,” katanya.

Pertandingan itu yang diadakan sejak semalam (22 Ogos), disertai 10 pasukan dengan 40 peserta.
Pertandingan itu, yang diadakan sempena Bulan Kemerdekaan, bertujuan memupuk semangat patriotik selain mengasah bakat kepimpinan, kemahiran berbahas serta meningkatkan pengetahuan belia terhadap isu semasa.
Commentaires