Diskaun harga ayam sehingga 30 peratus di Sabah, Sarawak, dan Labuan
- Wartawan Nabalu News
- Nov 5, 2023
- 1 min read

5 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
BEAUFORT: Rakyat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dapat membeli ayam dengan harga lebih murah melalui Program Jualan Rahmah (PJR) yang akan diperluas pada bulan November dan Disember tahun ini.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program ini bertujuan untuk memberi akses kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana kepada bekalan ayam dengan harga berpatutan.
Jelas beliau, KPDN akan memastikan rakyat boleh membeli bekalan ayam dengan harga Jualan Rahmah pada kadar diskaun di antara 10 hingga 30 peratus.
"Pelaksanaan pendekatan ini akan ditumpukan di kawasan-kawasan yang dilaporkan mempunyai isu penjualan harga yang agak tinggi di pasaran setempat," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, program ini juga sejajar dengan usaha untuk menyesuaikan diri dengan penamatan langkah sementara penetapan harga kawalan bagi ayam yang bermula 1 November.
"Langkah ini dilaksanakan bermula bulan Februari 2022 disebabkan harga yang terlalu tinggi pada masa tersebut yang melibatkan pemberian subsidi kepada penternak," ujarnya.
Tambah beliau, KPDN juga telah melaksanakan pemantauan harian setakat 4 November 2023 di pelbagai premis di seluruh negara dan mendapati harga ayam super di pasaran adalah berbeza mengikut negeri dan daerah.
"Bagi Sabah, harga ayam super di pasaran adalah di antara RM11.49/kg hingga RM13.90/kg. Manakala di Sarawak, harga di pasaran adalah di antara RM8.90/kg hingga RM18.90/kg. Sementara itu, harga ayam super di pasaran Labuan adalah di antara RM9.00/kg hingga RM13.90/kg," jelasnya.
Comentários