top of page
  • Wartawan Nabalu News

DKN2030 sasar RM60 bilion pendapatan koperasi menjelang  2025 - Ewon


10 April 2023


KOTA KINABALU: Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) menyasarkan RM60 bilion pendapatan dijana koperasi menjelang 2025, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata selain itu melalui pelbagai usaha dan inisiatif yang bakal dilaksanakan dalam DKN2030 pendapatan koperasi itu juga dijangka meningkat kepada RM100 bilion menjelang 2030.


"Bagi memperkukuh gerakan koperasi, DKN2030 telah menggariskan peranan koperasi melalui teras strategik antaranya merangsang pembangunan keusahawanan bersepadu dan holistik yang memberi fokus koperasi sebagai pemacu kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Pemantapan Rangkaian Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi Sabah 2023 di sini hari ini yang dihadiri lebih 120 peserta daripada 60 koperasi seluruh Sabah.

Katanya sehingga kini bilangan koperasi di Malaysia adalah sebanyak 15,315 dengan jumlah pendapatan mencecah RM38.5 bilion.


Ewon berkata sebanyak RM16.99 bilion modal syer serta yuran keanggotaan koperasi itu telah direkodkan dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM159.9 bilion.


Beliau berkata pencapaian berkenaan turut memberi kesan yang positif, terhadap gerakan koperasi di Sabah, yang jumlah koperasi berdaftar adalah sebanyak 1,706 dengan kekuatan anggota seramai 343,230 orang. 

"Syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM220 juta dan aset terkumpul bernilai RM826.44 juta manakala pencapaian jumlah perolehan adalah RM437.15 juta.


“Daripada bilangan koperasi tersebut saya difahamkan sebanyak 441 koperasi terlibat dalam sektor pemborongan dan peruncitan dan saya mengharapkan koperasi ini akan terus dapat menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara," katanya. - Bernama

Σχόλια


bottom of page