Dron Digunakan Untuk Pemetaan dalam Pengukuran Tanah PANTAS di Kampung Sayap Dan Terintiden
- nabalunews
- Mar 28, 2025
- 2 min read

28 Mac 2025
KOTA BELUD: Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) meneruskan fasa seterusnya dengan menggunakan teknologi dron bagi mengenal pasti muka bumi di Kampung Sayap dan Kampung Terintiden, semalam. Langkah ini bertujuan mempercepatkan proses pemetaan sebelum data dihantar ke pihak berkuasa untuk kelulusan rasmi.
Program yang diketuai oleh Penolong Jurukur Daerah Kota Belud, Pool Rumanti, ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan masyarakat setempat mendapat hak milik tanah yang sah.
Pool menyatakan bahawa penggunaan dron telah banyak membantu dalam proses pengukuran tanah sebelum data dihantar ke Jabatan Tanah dan Ukur.

"Selepas data diperoleh, ia akan dikemukakan kepada Jabatan Kaji Bumi untuk kelulusan sebelum pengukuran rasmi dijalankan," jelasnya.
Pool juga menjelaskan, penggunaan dron dalam program ini bukan sahaja membantu dalam mendapatkan gambaran lebih jelas tentang topografi kawasan, tetapi juga mempercepatkan pengumpulan data berbanding kaedah konvensional.
Program ini turut disertai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, serta beberapa pemimpin komuniti lain seperti Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sayap, Aming Gamburus, Ketua Kampung Josep Kangau, dan Idas Lumayan.
Menurut Saikom, PANTAS telah diperkenalkan untuk mempercepatkan proses pengukuran tanah adat yang selama ini sering mengalami kelewatan akibat kekangan sumber dan birokrasi. Dengan adanya sistem ini, masyarakat kampung boleh mendapatkan kepastian hak milik tanah mereka dengan lebih pantas dan terjamin.
"Program ini bukan sahaja memberi kejelasan mengenai hak milik tanah kepada penduduk, tetapi juga membantu mengelakkan pertikaian di kemudian hari. Dengan sokongan teknologi seperti dron, kita dapat memastikan proses ini berjalan dengan lebih efisien dan telus,"katanya.
Aming turut menyatakan, penduduk kampung menyambut baik inisiatif ini kerana ia memberikan mereka harapan untuk memiliki tanah dengan dokumen sah yang diiktiraf kerajaan.
Dengan kejayaan fasa pengukuran ini, diharapkan lebih banyak kawasan di Sabah akan menerima manfaat daripada Program PANTAS dalam usaha menyelesaikan isu pemilikan tanah adat secara sistematik dan berkesan.















Comments