top of page

Dua beradik rentung kemalangan berhampiran KKIA

  • nabalunews
  • Aug 30, 2024
  • 1 min read

30 Ogos 2024


KOTA KINABALU : Dua beradik rentung dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di lampu isyarat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Jalan Kepayan, Kota Kinabalu, awal pagi tadi.


Mangsa adalah adik beradik perempuan berusia lingkungan 20an. Namun setakat ini identiti lengkap mangsa masih dalam proses siasatan lanjut.


Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan yang membabitkan Toyota Hilux, Perodua Axia dan Perodua Viva itu, pada jam 2.35 pagi.


Katanya kejadian berlaku ketika Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an sedang bergerak

dari arah Tanjung Aru menuju ke arah Putatan.


Sebaik tiba di tempat kejadian di lorong kanan, Toyota Hilux melanggar Perodua Axia yang dinaiki dua wanita terbabit sehingga menyebabkan kereta itu berpusing masuk ke lorong tengah lalu melanggar bahagian tepi kanan Perodua Viva.


Akibat kejadian itu, Perodua Axia terbabas ke bahu jalan berdekatan jejantas lalu terbakar, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Media pagi tadi melaporkan dua individu rentung selepas Perodua Axia dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kepayan, dekat KKIA.


Pemandu Perodua Viva, lelaki berusia 34 tahun dan pemandu Toyota Hilux berusia 22 tahun hanya cedera ringan.


Kasim berkata kedua-dua mangsa di dalam kereta Perodua Axia dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth 1.


Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page