top of page
nabalunews

Dua beradik, termasuk bayi tiga bulan yang hilang dihanyutkan kepala air di Sook, belum ditemui




27 September 2024


KENINGAU: Operasi mencari dan menyelamat dua beradik iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dan bayi lelaki yang baru berumur tiga bulan yang dilaporkan hilang selepas rumah kongsi dihuni mereka dihanyutkan kepala air di Sungai Talangkai Karamatoi Ulu, Sook, di sini, Selasa lalu, masih belum dapat menemui kedua-dua mangsa.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata operasi mencari hari ketiga bermula jam 7.30 pagi semalam yang disertai sepasukan 15 anggota bomba dari BBP Sook, BBP Keningau dan BBP Nabawan serta unit anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.


Turut membantu gerakan mencari siang tadi adalah 5 anggota polis, 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan 15 pekerja Syarikat Kitam Sendirian Berhad.


Katanya operasi mencari dilakukan dengan kaedah surface rescue atau pencarian di permukaan air dengan radius 5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.


"Tiada liputan telefon dan Government Integrated Radio Network (GIRN) di lokasi kejadian yang terletak 110 kilometer dari BBP Sook," katanya dalam kenyataan hari ini.


Faisal berkata operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan jam 5.30 petang tadi dan akan disambung semula pagi esok.


"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke semasa," katanya


Dalam kejadian kira-kira 5 petang, 24 September lalu itu, mangsa warga Indonesia, Norsifah Asrul dan adiknya Muhd Fadli Asrul dikatakan terlepas daripada pegangan ibu bapanya ketika bersiap-siap untuk dimandikan.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata ketika itu mereka berada di ruang tamu rumah kongsi ladang sawit tempat bapa mangsa bekerja yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai.


Katanya, tanpa disedari arus sungai atau kepala air secara tiba-tiba meluru dengan deras hingga melimpahi tebing dan menghanyutkan rumah kongsi, menyebabkan situasi bertukar huru-hara dan tidak terkawal.


Beliau, berkata sebelum kejadian itu, berlaku hujan lebat selama beberapa jam namun mangsa tidak menyangka boleh berlaku kepala air dan menyifatkan kejadian itu yang pertama di kawasan berkenaan.


“Sebelum dihanyutkan kepala air, bapa mangsa sempat meninjau di luar selepas terdengar teriakan pekerja lain di luar rumah mengatakan berlaku kejadian ‘gempa’.


“Namun, secara tiba-tiba, kepala air terus menerjah rumah mereka tetapi bapa mangsa dikatakan sempat masuk semula ke dalam rumah dan ketika itu ibu mangsa sedang memegang bayi (Muhd Fadli), manakala bapanya memegang Norsifah.


“Bagaimanapun kedua-dua mangsa terlepas dari pegangan kedua-dua ibu bapanya selepas kediaman mereka dirempuh kayu balak yang turut dihanyutkan kepala air dan banjir,” katanya seperti dilaporkan media.


Yampil berkata pakaian yang dipakai kedua-dua mangsa ketika kejadian iaitu Muhd Fadli memakai baju warna putih dan berseluar pendek warna merah jambu manakala kakaknya (Norsifah) memakai baju gaun warna putih/merah.


“Ibu bapa mangsa yang turut dihanyutkan arus deras banjir mengalami kecederaan dan kini masih berada di Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Comments


bottom of page