Dua Ditahan, Dadah Syabu Dirampas dalam Ops Bersepadu IPD Sandakan
- nabalunews
- 5 days ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
6 Mac 2026
SANDAKAN: Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Sandakan menahan dua individu termasuk seorang warga asing dan merampas dadah jenis syabu dalam operasi bersepadu di sekitar Batu 3 dan Batu 4, Sandakan, pada Rabu, 4 Mac 2026.
Dalam operasi itu, seorang lelaki warga asing ditahan di lokasi berasingan sekitar Sandakan setelah didapati memiliki dadah syabu. Ujian saringan air kencing suspek juga positif methamphetamine.
Sementara itu, tangkapan kedua membabitkan seorang wanita tempatan yang ditahan Pasukan Polis Marin Sandakan di Kampung Pulau Tanjung Batu Laut. Wanita tersebut turut dikesan memiliki dadah syabu, namun ujian air kencingnya didapati negatif.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) George b. Abd Rakman memaklumkan, suspek lelaki akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah, dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana positif dadah. Bagi suspek wanita, beliau direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.
"Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan untuk membantu siasatan," jelas beliau.
Dalam pada itu, operasi turut dijalankan serentak di premis hiburan sekitar Batu 4 dan Batu 3. Menurut ACP George, pihaknya telah memeriksa seramai 11 individu yang terdiri daripada 5 lelaki dan 6 perempuan. Kesemua mereka menjalani ujian saringan air kencing dan keputusan menunjukkan negatif daripada sebarang jenis dadah, sebelum dibenarkan pulang.

Operasi bersepadu ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan IPD Sandakan dalam membanteras gejala dadah yang menjadi punca utama kepada peningkatan jenayah di negeri ini. Pihak polis sentiasa memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah bagi memastikan Sandakan bebas daripada ancaman najis dadah.















Comments