- Wartawan Nabalu News
DUA INDIVIDU SERTAI STAR KENINGAU TIDAK PERNAH JADI AHLI DAP: HENRY SHIM
11 Mac 2021
KOTA KINABALU: Dua Individu yang dikatakan Bekas Ahli DAP Keningau berpaling tadah dan menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak pernah menjadi Ahli DAP, tegas Setiausaha Organisasi DAP Sabah di Kuala Lumpur Henry Shim Chee On.
Menurut Henry Shim, kedua-dua individu yang menyertai STAR baru-baru ini dan menyebut mereka "bekas ahli DAP Keningau" sebenarnya bukan ahli DAP.
"Di bawah perlembagaan DAP, mana-mana ahli DAP yang menyertai parti politik lain akan dilucutkan keahlian mereka serta merta.
"Namun, saya telah memeriksa senarai ahli DAP dan Foh Su Ming @ Nelson Manjin dan Michael Ng Hung Kee tidak disenaraikan sebagai ahli di mana-mana cawangan DAP di seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Henry Shim berkata, kedua-dua individu berkenaan sebelum ini dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) di Keningau di bawah kuota DAP, tetapi mereka tidak pernah menyertai DAP secara rasmi.
Oleh itu katanya, sebarang dakwaan kononnya mereka berpaling tadah atau lompat parti tidak berlaku kerana kedua-duanya tidak pernah menjadi anggota atau pemimpin DAP tidak berhak mengatakan mereka ahli DAP.
Sebelum ini, media melaporkan dua ahli DAP Keningau iaitu Foh Su Ming @ Nelson Manjin dan Michael Ng Hung Kee meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Star.
Mereka menyerahkan borang keahlian kepada Setiausaha Bahagian Star Sabah Junior Fred Vincent di Pejabat ADUN Bingkor.
Komentar