Dua Kanak-Kanak Kritikal Selepas Nyaris Lemas.
- nabalunews
- Aug 23, 2025
- 1 min read

23 Ogos 2025
LAHAD DATU: Dua kanak-kanak perempuan dilaporkan kritikal selepas dilaporkan nyaris lemas dalam kejadian di Pantai Rindu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kedua-dua mangsa dikatakan berjaya diselamatkan ahli keluarga dan terpaksa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan ke lokasi yang terletak sejauh 25 kilometer.

Katanya, sebaik tiba pada jam 1.04 petang, kedua-dua mangsa dilaporkan sudah dihantar ke hospital menggunakan kenderaan persendirian.
“Kedua-dua mangsa kini masih dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.
“Pasukan bomba terus melakukan pemantauan di lokasi serta memberi taklimat keselamatan kepada pemilik lokasi bagi mengelakkan insiden sama berulang,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba turut melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.37 petang,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan pantai, khususnya membabitkan kanak-kanak.















Comments