- Wartawan Nabalu News
DUA KEJOHANAN BOLA SEPAK BAKAL DIANJURKAN DI SABAH
25 Jan 2021
Oleh Syabil Syafi
KOTA KINABALU: Dua kejohanan bola sepak bakal dianjurkan di negeri ini dalam melahirkan bakat-bakat baharu selain mahu terus memajukan arena sukan itu khususnya di Sabah pada tahun ini.
Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Azman Mastar berkata, antara kejohanan itu ialah kejohanan bola sepak Piala Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Bagi Piala Hajiji ia akan menggantikan kejohanan Piala Ketua Menteri yang dianjurkan sebelum ini manakala Piala Bung Moktar Radin merupakan kejohanan baharu iaitu merebut Piala Presiden SAFA.
“Tiada had umur bagi pemain ditetapkan bagi kejohanan Piala Hajiji namun bagi Piala Bung Moktar ianya akan membabitkan pemain berusia bawah 18 tahun sahaja,”katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di pejabat SAFA, kelmarin.
Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA berkata, kedua-dua kejohanan itu belum ditentukan tarikh pertandingan namun akan tetap dilaksanakan pada tahun ini.
Katanya, kejohanan yang melibatkan dua piala itu nanti akan membabitkan lapan zon yang telah dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan.
“Jawatankuasa pertandingan mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini (kelmarin) dan selepas ini kita akan memutuskan tarikh kejohanan itu dijalankan,” katanya.
Antara zon yang bakal menyertai kejohanan ialah Zon Sandakan yang melibatkan pasukan Sandakan selaku tuan rumah, Beluran dan Kinabatangan, Zon Tawau terdiri dari Tawau (tuan rumah), Semporna, Lahad Datu dan Kunak dan Zon Pedalaman Bawah terdiri dari Keningau (tuan rumah), Tenom, Tambunan dan Nabawan.
Selain itu, turut menyertai ialah Zon Pantai Barat Selatan terdiri dari Beaufort (tuan rumah), Kuala Penyu, Menumbok dan Sipitang, Zon Pedalaman Atas terdiri dari Ranau (tuan rumah), Telupid dan Tongod, Zon Pantai Barat terdiri dari Kota Kinabalu (tuan rumah), Putatan dan Papar, Zon Utara terdiri dari Kudat (tuan rumah), Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud dan Zon Utara Bawah terdiri dari Tuaran (tuan rumah), Tamparuli dan Penampang.
Sementara itu, Azman berkata, kejohanan yang bakal diadakan itu bertujuan bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam usaha untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini.
“Ini adalah sejajar dengan aspirasi dan hala tuju Pemangku Presiden SAFA Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahukan sukan bolasepak terus dikembangkan sekali gus mengembalikan prestasi pasukan Sabah ke landasan yang betul.
“Kita perlu memberi sokongan sepenuhnya terhadap hala tuju ini memandangkan sukan bolasepak sangat diminati ramai,”katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata, kejohanan itu akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kebenaran pihak kerajaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan COVID-19
“Kita perlu menganjurkan kejohanan-kejohanan ini memandangkan jiran kita Sarawak sudah lebih dulu merancang berbuat demikian,”katanya.
Comments