• Wartawan Nabalu News

DUA KLUSTER BAHARU BABITKAN GURU DI TAWAU DAN PELAJAR SEKOLAH AGAMA DI KOTA KINABALU


Gambar Hiasan

14 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini membabitkan guru sekolah rendah di Tawau dan pelajar sekolah menengah agama di Kota Kinabalu.


Dua kluster itu dikenali sebagai Kluster Batu 10 di Tawau mencatatkan 16 kes kumulatif manakala Kluster Jalan Khidmat Kota Kinabalu pula mencatatkan 24 kes kumulatif.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Batu 10 di Tawau menambah satu kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes.


"Kes indeks merupakan guru wanita di sekolah rendah yang dikesan positif selepas menjalani saringan bergejala.


"Turut disahkan positif, suami kepada kes indeks yang bertugas di Lembaga Koko Tawau pada

31 Mac lalu.


"Hasil saringan kontak rapat, 14 lagi kes positif dikesan iaitu empat pekerja Lembaga Koko, sembilan kontak rapat kepada pekerja dan seorang pelajar di sekolah tempat kes indeks mengajar.


"Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan sedang giat dijalankan," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, Kluster Jalan Khidmat di Kota Kinabalu pula mencatat 22 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 24 kes.


Beliau berkata, kes indeks merupakan dua pelajar lelaki Tingkatan 2, di salah sebuah sekolah menengah agama.


Katanya, kedua-duanya dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 12 April lalu.


"Susulan kes itu, pasukan kawalan telah menjalankan aktiviti persampelan ke atas semua kontak di sekolah terbabit.


"Daripada 796 sampel yang diambil, 22 kes disahkan positif, 228 sampel negatif manakala 544 sampel lagi masih menunggu keputusan ujian.