Dua lagi individu disyaki terbabit kartel penyelewengan dana penyelenggaraan sekolah-sekolah di Kudat, ditahan SPRM
- nabalunews
- Oct 26, 2024
- 1 min read

26 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman dua lagi individu kerana disyaki menerima rasuah membabitkan pelantikan pembekal bahan mentah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah di sekitar Kudat yang bernilai kira-kira RM600,000.
Menurut sumber, suspek terdiri seorang lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 40-an telah ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika hadir bagi memberikan keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Susulan penahanan itu, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu pagi tadi dan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 30 Oktober 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Dzul Elmy Yunus.
“Suspek merupakan pegawai kanan yang bertugas di salah sebuah pejabat pendidikan daerah di Sabah dipercayai melakukan kegiatan ini dengan menerima sejumlah rasuah pada tahun 2023 hingga 2024 melalui kemasukan wang ke akaun bank milik proksinya.
“Suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk berpakat melantik beberapa pembekal dalam urusan perolehan secara pembelian terus dan sebut harga bagi pembekalan bahan mentah penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah di daerah tersebut,” katanya.
Tangkapan ini adalah susulan penahanan seorang pemilik perniagaan semalam kerana disyaki mengemukakan dua tuntutan palsu bernilai kira-kira RM45,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Baru-baru ini, ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, mendedahkan isu kartel penyelewengan dana sekolah melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah Kudat sewaktu ucapan perbahasan dasar Belanjawan 2025 di Parlimen dan menggesa SPRM menjalankan siasatan.
Comments