Dua laluan ditutup
- nabalunews
- Mar 8
- 1 min read

8 Mac 2025
KOTA KINABALU: Dua laluan utama menghubungkan daerah Keningau, Kimanis dan Tenom ditutup akibat kejadian tanah runtuh.
Dua laluan itu melibatkan Kilometer (KM) KM151.950 / 142.250 Jalan Keningau – Tenom dan di KM14.300 Jalan Keningau – Kimanis ditutup selepas dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan pengguna.
JKR Sabah dalam satu kenyataan berkata, penutupan jalan terpaksa dibuat atas faktor keselamatan berikutan kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan berterusan.

Katanya, kerja pemantauan dan penyediaan laluan lencongan di bahu jalan sedang dijalankan, namun penutupan jalan dijangka dilanjut jika keadaan cuaca tidak mengizinkan dan runtuhan masih aktif.
“Penutupan jalan terpaksa dilanjutkan sehingga laluan disahkan selamat untuk digunakan.
“Berikutan itu, JKR menasihatkan pengguna dari arah ibu negeri ke Tenom supaya menggunakan laluan alternatif Jalan Tenom – Sipitang dengan melalui daerah Sipitang,” katanya.
Menurutnya, bagi KM14.30 Jalan Keningau- Kimanis, penutupan terpaksa dilakukan berikutan insiden tanah runtuh berserta batu yang masih aktif di laluan berkenaan.
Katanya, laluan alternatif yang boleh digunakan ialah Jalan Kota Kinabalu – Keningau yang melalui daerah Tambunan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan menggunakan laluan alternatif yang disediakan.
“JKR memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama serta kesabaran semua pihak,” katanya.
Comments