top of page

Dua Lelaki Ditahan, 394 Gram Syabu Dirampas Dalam Serbuan Di Pekan Tumburungus

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read

3 Februari 2026


KUDAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 394.16 gram dalam satu serbuan di sebuah bilik sewa atas kedai di Pekan Tumburungus, di sini, pada 31 Januari lalu.


Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Hj Ibrahim berkata, serbuan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat itu dilakukan kira-kira jam 11.30 malam.


Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut di dalam bilik sewa berkenaan menemukan beberapa bungkusan plastik mengandungi hablur kristal disyaki dadah yang disembunyikan di beberapa lokasi dalam bilik tersebut.


“Anggaran berat keseluruhan rampasan syabu ialah lebih kurang 394.16 gram dengan nilai pasaran sekitar RM43,357.60,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Selain dadah, polis turut merampas sebuah kenderaan, wang tunai, telefon bimbit, alat timbang, plastik pembungkusan serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah.


Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan amphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.


Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.


Dalam pada itu, Mohd Haris menegaskan bahawa pihak polis daerah Kudat komited untuk terus membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah ini.


Beliau turut menyeru orang ramai agar menjauhi dadah serta tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan bahan terlarang itu.


“Orang awam juga diminta untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dadah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Kudat sentiasa terpelihara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page