Dua lelaki warga asing ditahan bersama dadah syabu bernilai lebih RM5,000 di Lahad Datu
- nabalunews
- Jun 24
- 1 min read

24 Jun 2025
LAHAD DATU: Cubaan dua lelaki warga asing untuk meloloskan diri daripada polis gagal apabila mereka diberkas dalam satu operasi narkotik di kawasan ladang sawit Kampung Ubi Batu 4, Jalan Dam, di sini.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya menahan kedua-dua suspek berusia 46 dan 60 tahun yang menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan pihak polis.

“Pemeriksaan ke atas salah seorang suspek membawa kepada penemuan sebuah beg silang yang mengandungi 13 paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 50.63 gram, bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah,” menurut kenyataan polis.
Hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Turut disita ialah wang tunai sebanyak RM500 dan dadah yang dianggarkan bernilai RM5,569.30.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Comments