Dua Pencuri Kabel Ditahan Selepas Lebih Sejam Dikejar
- nabalunews
- Feb 9
- 2 min read

9 Februari 2026
KOTA KINABALU: Dua lelaki termasuk seorang bekas anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi berjaya ditahan selepas dikejar lebih sejam, pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kedua-dua lelaki terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti memotong kabel telekomunikasi di kawasan Maktab Gaya, Luyang.
Bagaimanapun, ketika cuba ditahan, kedua-dua suspek bertindak agresif meloloskan diri daripada ditahan kereta peronda polis (MPV) dengan menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, semasa dikejar, kedua-dua suspek bukan sahaja enggan memberhentikan kenderaan, malah cuba mengancam anggota penguat kuasa dengan menghimpit kenderaan polis ke laluan bertentangan.
“Tindakan berbahaya itu turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain apabila suspek memandu secara melulu di beberapa laluan awam.
“Bagaimanapun, insiden berkenaan berakhir di Taman Putra Perdana, Telipok selepas kenderaan dinaiki suspek terbabas akibat tayar belakang kenderaannya pecah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pada Majlis Perhimpunan Bulanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Kasim berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan di dalam kenderaan menemui tiga batang kabel Telekom, peralatan memotong kabel, sepucuk pistol tiruan dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah.
Katanya, pasukan polis turut menemui dadah jenis syabu seberat 0.44 gram dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.

“Kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 431A akta sama berkaitan kecurian kabel serta Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Terdahulu, kejadian melibatkan dua penjenayah terbabit berjaya dirakam orang awam sebelum tular di media sosial.
Malah, kejadian turut menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen apabila ada yang mendakwa salah seorang anggota polis cedera ditikam suspek.
Bagaimanapun, polis mengesahkan anggota berkenaan hanya mengalami kecederaan biasa di kaki akibat bergelut dengan salah seorang suspek
Sehubungan itu, Kasim menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap individu yang bertindak ganas terhadap anggota polis serta terlibat dalam jenayah yang menjejaskan keselamatan awal serta infrastruktur negara.
Katanya, orang awam turut dinasihatkan suoaya tidak terlibat atau bersubahat dalam kegiatan kecurian kabel dan diminta segera menyalurkan maklumat terhadap
Sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.















Comments