Dua pengedar dadah ditahan
- nabalunews
- Apr 6
- 1 min read

6 April 2025
TAWAU: Dua pengedar ditahan bersama lebih 250 gram dadah jenis syabu dalam dua lokasi operasi berasingan di daerah ini, semalam
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau.
Katanya, tangkapan suspek pertama dilakukan di Taman Perumahan Batu 14 Jalan Apas, di sini.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek merupakan warga asing berusia 30-an yang disyaki aktif menjalankan aktiviti mengedar dadah.
“Sebaik ditahan, suspek membawa polis ke sebuah rumah di kawasan berkenaan dan menyerahkan beg kertas yang berisi lima paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati dadah yang dirampas seberat 249.77 gram dan dianggarkan bernilai lebih RM16,000.
Katanya, hasil ujian saringan awal turut mendapati air kencing suspek positif dadah jenis Methamphetamine serta Amphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Jasmin berkata, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki berusia 40-an di kawasan Kampung Serudung Baru, Batu 15, Jalan Apas.
Katanya, hasil pemeriksaan awal, polis menemui satu paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.07 gram di dalam beg yang dibawa suspek.
“Hasil ujian awal air kencing suspek turut mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Comments