Dua Pengunjung Pusat Hiburan Khayal Dadah Ditahan
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

17 Mei 2025
PENAMPANG: Dua pengunjung sebuah pusat hiburan di sini, ditahan selepas didapati positif dadah sebaik diarahkan menjalani ujian saringan air kencing, awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, dua lelaki berusia lingkungan 27 dan 33 tahun itu dikesan hasil pemeriksaan terhadap 20 pengunjung pusat hiburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi Op Pusat Hiburan itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Katanya, operasi diketuai Ketua BSJND Penampang, Inspektor Mohamed Anwar Mohamed Jamil bersama 12 orang pegawai dan anggota polis.
“Sebaik operasi dilaksanakan, seramai 20 pengunjung pusat hiburan berkenaan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil pemeriksaan, dua lelaki ditahan selepas didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Sammy berkata, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan serta operasi dari semasa ke semasa.
Katanya, para pengusaha premis hiburan juga disarankan supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Comments