Dua PPS diaktifkan tempatkan mangsa kebakaran Kg Cempaka, Likas
- nabalunews
- Mar 2
- 1 min read

2 Mac 2025
KOTA KINABALU: Sebanyak dua buah dewan serbaguna, iaitu Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Serbaguna Damai, telah diaktifkan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan seramai 511 mangsa bencana kebakaran Kampung Cempaka, Likas.
Setakat ini, seramai 200 mangsa daripada 34 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Likas. Jumlah ini terdiri daripada 126 dewasa, 68 kanak-kanak dan lima (5) bayi dan satu (1) individu Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara itu, seramai 311 mangsa daripada 56 KIR ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Damai. Daripada jumlah ini, seramai 203 orang adalah dewasa, 88 orang kanak-kanak, enam (6) bayi dan 14 warga emas.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Lifred Wong telah mengadakan lawatan ke sekitar Kg. Cempaka, Likas dan PPS Dewan Serbaguna Likas bagi meninjau keadaan semasa di lapangan selain bertemu dengan mangsa-mangsa kebakaran.
Susulan lawatan itu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Kinabalu Bil. 1/2025 bertempat di Dewan Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan DBKK.
Mesyuarat ini turut melibatkan wakil-wakil daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA), Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat.
Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK Karim Rahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK Robert Lipon.
Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku pada 1 Mac lalu, sekitar pukul 6.00 pagi, dianggarkan sebanyak 80 buah rumah di Kg. Cempaka, Likas telah musnah dalam kebakaran.
Comments