Dua suspek pengedar dadah ditahan di Lapangan Terbang Tawau (LTT)
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

20 Mei 2025
TAWAU: Dua suspek pengedar dadah ditahan bersama 2493.45 gram syabu dianggarkan bernilai RM87, 000 yang disembunyikan dalam satu bagasi di Lapangan Terbang Tawau (LTT) pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek warganegara berusia 44 dan 21 tahun itu, dipercayai baharu tiba di Tawau dari Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat komersil berbeza.
Katanya, tangkapan itu berjaya dilakukan sepasukan anggota IPD Tawau susulan maklumat diterima dengan memberkas suspek pertama pada jam 9.25 malam kerana mencurigakan di kawasan LLT.
“Polis menemukan sekeping pas masuk pesawat Air Asia AK5751 semasa pemeriksaan badan ke atas suspek yang berasal dari Perak itu dan menemui alat vacuum sealer di dalam beg bagasi yang dibawanya.
“Hasil soal-siasat ke atas lelaki itu membawa kepada penahanan suspek kedua dalam keadaan mencurigakan di kawasan LLT pada jam 10.15 malam oleh anggota Strike Team Balai Polis Tawau,”katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.
Jasmin berkata, polis menemui sekeping pas masuk pesawat Batik Air OD1908 semasa pemeriksaan badan ke atas suspek itu yang berasal dari Sarawak.
Manakala, sejumlah 2493.45 gram dadah jenis syabu yang dibungkus secara berasingan ditemui dalam satu beg bagasi yang dibawa oleh suspek tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata semakan rekod jenayah mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah lampau iaitu dua rekod di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan dua lagi di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 serta turut didapati positif dadah semasa ujian saringan air kencing.
Manakala, suspek kedua mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dikehendaki dalam kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Ujian saringan air kencingnya, bagaimanapun negatif daripada penyalahgunaan dadah.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan polis juga turut giat mengesan rangkaian pengedaran dadah tersebut.
Yorumlar