top of page

Penganggur Ugut Tikam Dan Bakar Rumah Adik Ditahan

  • nabalunews
  • 11 minutes ago
  • 1 min read

20 Mei 2025


TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis hari ini, selepas didakwa mengugut akan menikam dan membakar rumah ahli keluarga sendiri dalam kejadian, 6 Mei lalu.


Lelaki berusia 39 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 1 pagi, selepas laporan polis dibuat ahli keluarganya yang bimbang dengan keselamatan diri.


Difahamkan, lelaki terbabit mengamuk sehingga mengacukan pisau terhadap ibu kandungnya kerana tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang diberikan kepadanya.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati, suspek yang tidak bekerja mempunyai enam rekod jenayah lampau.


Katanya, suspek yang pernah diletakkan sebagai orang dikehendaki polis didapati terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah dan penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


“Suspek merupakan abang kepada mangsa dikatakan mengamuk terhadap ibunya dan ahli keluarga lain kerana tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang diberikan kepadanya.


“Suspek turut mengeluarkan ugutan akan menikam ahli keluarga di rumah mereka sambil mengacukan pisau.


“Suspek turut didakwa menghubungi ibunya sekali lagi untuk membakar rumah adiknya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.


Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku sebarang ugutan atau perlakuan agresif dalam ahli keluarga, khususnya yang melibatkan keselamatan nyawa.


“Jangan sesekali mengambil mudah terhadap ugutan, walaupun dilakukan oleh ahli keluarga sendiri kerana nyawa dan keselamatan semua pihak perlu diutamakan.


“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan orang lain,” tegasnya.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page