top of page

Dua wakil dewan perniagaan dilantik Ahli Lembaga Pengarah SEDCO yang baharu

nabalunews
4 hours ago
1 min read

28 September 2026


KOTA KINABALU: Dua tokoh mewakili dewan perniagaan di Sabah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang baharu.


Mereka ialah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Sabah, Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmun, dan Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI), Carl Moosom.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata pelantikan itu akan membantu memperkukuh hala tuju SEDCO sebagai agensi penting dalam pembangunan ekonomi negeri.


“Saya yakin pelantikan wakil dewan perniagaan dan perindustrian dalam lembaga pengarah SEDCO akan membawa pandangan serta pengalaman industri ke dalam perancangan agensi ini,” katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada kedua-duanya, hari ini.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, seorang lagi tokoh korporat, Tan Sri Dr Andrew Liew Sui Fatt, yang merupakan Penasihat Kehormat Sabah United Chinese Chambers of Commerce (SUCCC), ialah Ahli Lembaga Pengarah SEDCO sedia ada.


Beliau turut berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, atas keyakinan melantik tokoh korporat dan wakil persatuan industri dalam lembaga pengarah badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan, khususnya di bawah kementeriannya.


“Ini selaras dengan komitmen awal saya untuk melihat lebih banyak pelantikan wakil industri, seimbang dengan pelantikan wakil kepimpinan parti-parti dalam kerajaan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page