Kerajaan Negeri Komited Sokong Bakat Anak Muda Sabah

27 Sept 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited menyokong bakat anak muda negeri ini dalam industri muzik tanah air.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Mazlan @ Joehari Manan berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha seperti penganjuran Anugerah Carta Lagu Artis Sabah Ke-16 (CLAS16) yang diterajui Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Sabah.
"Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor akan melihat ini secara menyeluruh untuk memberi sumbangan dan bantuan serta apa sahaja yang diperlukan untuk mengangkat martabat serta bakat anak muda di Sabah.
"Bakat ini boleh diterjemahkan sebagai bentuk ekonomi dan pendapatan kepada anak-anak tempatan Sabah yang berbakat dalam bidang hiburan.
"Saya berharap kepada generasi muda yang berbakat di Sabah agar terus bergiat aktif dalam berkarya, kembangkan kebolehan diri, meningkatkan kualiti dan kredibiliti yang ada.
"Teruslah berusaha, memupuk minat dan mengembangkan kebolehan diri supaya satu hari nanti boleh mengangkat dan mengharumkan nama Sabah ke peringkat yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui media selepas malam kemuncak Program CLAS16, di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mazlan berkata penganjuran CLAS16 merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada penggiat seni di negeri ini untuk terus berkarya dan meningkatkan kebolehan diri untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
"Program ini memberikan impak positif kepada penggiat seni hiburan sekali gus memberikan motivasi dan semangat kepada artis untuk terus bergiat aktif dan meningkatkan kualiti dan kredibiliti masing-masing.
"Penganjuran tersebut juga menjadi platform untuk mengangkat kebolehan dan bakat anak Sabah ke peringkat yang lebih tinggi dalam industri muzik tanah air," ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada RTM Sabah dan JKKN Sabah atas kejayaan penganjuran program tersebut dalam usaha berterusan memperkasa industri muzik tempatan.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Marina Abu Bakar, Penolong Pengarah dan Penerbit Rancangan RTM Sabah, Felix Lee Leng Pink serta Ketua Penolong Pengarah Seksyen Radio RTM Sabah, Aritika Mabni @ Matbee./Penerangan-















Comments