SMJ 2.0 terus beri penekanan kepada pembangunan modal insan

27 September 2026
TUARAN: Pembangunan modal insan terus diberikan penekanan dalam fasa baharu pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan anak-anak Sabah memiliki ilmu, kemahiran dan keupayaan untuk menghadapi keperluan masa depan, selaras dengan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat yang merupakan Teras Kedua dalam Pelan Pembangunan SMJ.
"Kerajaan negeri Sabah sentiasa memberi perhatian serius terhadap pembangunan pendidikan dan modal insan. Ini kerana masa depan Sabah tidak hanya bergantung pada kekayaan sumber alam, pembangunan fizikal atau kemajuan ekonomi semata-mata. Kekuatan sebenar Sabah terletak pada rakyatnya.
"Kita memerlukan generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti, celik teknologi dan digital, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta mempunyai nilai kemanusiaan dan jati diri yang kukuh," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Jubli Perak sempena 25 Tahun SMK Sri Nangka Tuaran, di sini, malam ini.

Hajiji berkata, pendidikan juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan dunia dengan memperkukuh bidang STEM, teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), kemahiran serta pembangunan bakat.
Katanya, kerajaan negeri turut memperkukuh pendigitalan pendidikan menerusi Sistem TPNS Smart Application yang membolehkan permohonan bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), yang dilancarkan pada 2022, dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya.
"Kerajaan melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) telah memperuntukkan sebanyak RM155 juta untuk tahun ini, iaitu meningkat berlipat kali ganda daripada RM50 juta pada tahun 2020.
"Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan telah diperkenalkan antaranya bantuan tunai pendaftaran IPT atau BUDI; bantuan komputer atau BAIK selain bantuan tiket penerbangan kepada pelajar-pelajar kita di Semenanjung, Sarawak dan bantuan kepada pelajar kolej negeri ini untuk balik kampung. Semua inisiatif ini kita teruskan sehingga kini," katanya.
Beliau berkata, apa yang dilaksanakan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan yang terus kekal menjadi keutamaan kerana sektor berkenaan adalah asas penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
"Namun, dalam kita mengejar kemajuan teknologi, jangan sesekali kita melupakan nilai dan akhlak. Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cerdik akalnya dan tinggi kemahirannya, tetapi berakhlak, berintegriti dan berjiwa besar untuk membangunkan Sabah, katanya.
Hajiji berkata, pendidikan ialah tanggungjawab bersama dan tidak boleh diletakkan di bahu guru serta pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan ibu bapa, kerajaan, komuniti dan sektor swasta.
"Kerjasama padu inilah yang akan turut membantu segala usaha kerajaan untuk meningkatkan pembangunan pendidikan di negeri ini," katanya.
Mengenai sambutan Jubli Perak SMK Sri Nangka, Hajiji berkata, 25 tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat dan dalam tempoh itu sekolah berkenaan telah melalui pelbagai perubahan, cabaran serta proses pembangunan, selain menyaksikan ribuan anak muda melangkah masuk sebagai pelajar dan keluar membawa ilmu, pengalaman serta cita-cita.
"Ada yang menjadi penjawat awam, pendidik, usahawan, tenaga profesional dan menyumbang dalam pelbagai bidang kepada masyarakat serta negeri Sabah," katanya.
Hajiji berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan pembangunan pendidikan di di Tuaran, termasuk SMK Sri Nangka yang mempunyai sejarah tersendiri sejak penubuhannya 25 tahun lalu
Beliau berkata, sekolah itu dekat dengan beliau kerana pembinaannya bermula daripada usaha beliau memohon sebuah sekolah menengah baharu di kawasan Sulaman, selain nama SMK Sri Nangka turut dicadangkan oleh beliau sendiri.
Menurutnya, beliau mengambil kesempatan bertemu Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib, untuk memohon pembinaan sekolah berkenaan dan menerima surat kelulusan beberapa bulan berikutnya selepas dimaklumkan tanah di kawasan itu sudah tersedia.
Hajiji berkata, sekolah itu pada asalnya dinamakan SMK Tajau sebelum beliau mencadangkan nama SMK Sri Nangka berdasarkan sejarah kawasan berkenaan yang dahulunya dikenali masyarakat tempatan sebagai Nangka atau Kampung Nangka.
Katanya, "Nangka" bukan merujuk kepada pokok atau buah nangka, sebaliknya merupakan nama yang digunakan masyarakat terdahulu untuk kawasan itu dan dalam masyarakat Bajau Sama turut mempunyai kaitan dengan maksud kekuatan atau menahan.
"Nama yang saya cadangkan ialah SMK Sri Nangka. Pada mulanya ramai yang mempertikaikan nama ini kerana mereka mungkin berpendapat ia nama pokok nangka atau buah nangka. Tetapi bagi masyarakat di sini, Nangka mempunyai makna yang amat besar," katanya.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada semua pengetua yang pernah menerajui SMK Sri Nangka sejak sekolah itu ditubuhkan serta semua guru yang masih berkhidmat, telah bersara atau berpindah.
"Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk pemikiran, membina keyakinan, mencungkil bakat dan membantu menentukan arah masa depan anak-anak bangsa," katanya.
Hajiji berkata, sambutan Jubli Perak itu bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 sebuah sekolah, tetapi menyemai benih untuk masa depan, menunjukkan kepada anak-anak bahawa masyarakat mengambil berat tentang mereka dan membuktikan bahawa pendidikan ialah pelaburan bersama.
'Semoga sumbangan yang diberikan pada hari ini, menjadi kemudahan pembelajaran, peluang pendidikan dan sumber inspirasi kepada pelajar untuk melangkah lebih jauh. Saya berharap sekolah ini terus melahirkan generasi berilmu dan berakhlak, serta terus menjadi sebahagian daripada kekuatan pembangunan Sabah," katanya.















Comments