top of page

PBAKK Berpotensi Menjadi Platform Literasi, Penerbitan Berprestij

nabalunews
4 hours ago
2 min read

27 Sept 2026


KOTA KINABALU: Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) berpotensi menjadi platform literasi dan penerbitan berprestij di rantau Borneo dan Asia Tenggara.


Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, keyakinan itu berdasarkan minat masyarakat yang amat memberangsangkan terhadap penganjuran PBAKK 2026.


"Hari ini merupakan detik yang amat bermakna bukan sahaja menandakan kejayaan penganjuran sebuah pesta buku berskala besar di Borneo, malah ia membawa satu manifestasi kebangkitan budaya keilmuan yang mekar selaras dengan tema PBAKK tahun ini 'Ilmu Dijunjung Bangsa Disanjung'.


"Penganjuran PBAKK pada tahun lalu telah melakar sejarah yang cukup membanggakan apabila berjaya merekodkan kehadiran seramai 50,000 orang pengunjung dan tahun ini, kita mengorak langkah yang lebih berani dengan meletakkan sasaran seramai 150,000 orang pengunjung.


"Kita yakin sasaran ini mampu dicapai berdasarkan minat masyarakat yang amat memberangsangkan.


"PBAKK sebenarnya membawa serampang dua mata apabila selain menggalakkan budaya membaca, pesta ini turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi setempat khususnya dalam industri buku, ekonomi kreatif dan sektor pelancongan pendidikan.


"Sejajar dengan wawasan kita untuk terus menjadi pemacu ilmu dan rujukan akademik di rantau ini, penganjuran PBAKK menzahirkan komitmen mampan terhadap slogan keramat universiti kita, iaitu 'UMS The Brain of Borneo'," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penutupan PBAKK 2026, di sini, pada Ahad.


Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.


Beliau berkata PBAKK 2026 turut diserikan dengan penyertaan pempamer tempatan dan luar negara, termasuk syarikat penerbitan, agensi kerajaan dan pengedar buku dari seluruh negara serta rakan serantau dari Negara Brunei Darussalam.


"Keterlibatan rakan-rakan tempatan dan antarabangsa ini membuktikan bahawa PBAKK mempunyai daya saing sebagai sebuah acara penerbitan serantau yang holistik.


"Penganjuran acara ilmu yang menghimpunkan pencinta buku, penulis, penerbit serta penggiat industri perbukuan daripada pelbagai latar belakang ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa dukungan, kepercayaan dan sokongan padu daripada pelbagai pihak," jelasnya.


Beliau berharap jaringan kerjasama dan perkongsian ilmu yang terjalin sepanjang lima hari pesta buku itu akan terus mekar dan memberikan impak positif jangka panjang.


Dalam majlis tersebut turut berlangsung Anugerah Buku Borneo (ABB) 2026 yang merangkumi enam kategori antaranya, Anugerah Buku Terbaik (Terbitan Sabah, Borneo), Anugerah Penulis Terbaik (Sabah, Borneo), Anugerah Penerbit Terbaik (Sabah, Borneo) serta Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah.


Hadir sama, wakil Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Hassan Mahali, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, Pengarah Penerbit UMS, Profesor Dr. Patricia Matanjun dan Pengarah Perpustakaan Negeri, George Yih Ching Yaw./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page