top of page

Dua Warga Emas Rentung

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

24 Januari 2026


KUDAT: Sepasang warga emas rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian kebakaran di Kampung Lau San, Batu 4, di sini, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu, mangsa dikenali sebagai Yong Lok Khong, 74, dan isterinya Chong Lee Ken, 71, yang ditemui di bilik tidur rumah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah papan dua tingkat yang didiami oleh dua mangsa.

"Kedua-dua warga emas itu disahkan meninggal dunia selepas pihak bomba menemukan dua mayat dalam keadaan hangus terbakar di lokasi kejadian.


"Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR)," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ganesh Arumugam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 malam sebelum 10 anggota dikerahkan ke lokasi sejauh kira-kira enam kilometer.


"Operasi pemadaman berdepan kesukaran akibat laluan sempit, jambatan kecil serta wayar elektrik rendah.


"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.30 pagi, dengan mangsa pertama dikeluarkan pada jam 2 pagi dan mangsa kedua pada jam 3.50 pagi.


“Kedua-dua mayat diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.47 pagi dengan bantuan PBS Kampung Ayer dan KKM.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page