DUN Karambunai, Kapayan, Inanam catat peningkatan tertinggi jumlah pengundi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

DUN Karambunai, Kapayan, Inanam catat peningkatan tertinggi jumlah pengundi



25 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Tiga daripada 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah mencatatkan peningkatan terbanyak melebihi 12,000 pengundi selepas Undi 18 dan Pendafaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) dikuatkuasakan.


Berdasarkan statistik peningkatan pemilih mengikut DUN Sabah, DUN Karambunai, DUN Kapayan dan DUN Inanam mencatatkan peningkatan antara 12,000 hingga 15,000 pengundi baharu.


Dua DUN mencatatkan peningkatan kurang 3,000 pemilih baharu iaitu DUN Api-Api dan DUN Banggi.


“Jumlah pengundi di DUN Api-Api sebelum Undi18 dan PPSA dikuatkuasakan ialah sejumlah 18,703 orang meningkat sehingga 19,647 orang selepas itu.


“Manakala DUN Bangi pula mempunyai 6,260 pengundi sebelum Undi18 meningkat sehingga 9,023 orang selepas Undi18 dan PPSA dikuatkuasakan,” kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam taklimat Sesi Libat Urus Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Berhubung Pelaksanan Umur Pengundi 18 Tahun dan PPSA, di Dewan Bankuasi, Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Menurut SPR, sebanyak 36 DUN lagi mencatatkan peningkatan pengundi baharu antara 3,000 hingga 6,000, peningkatan pengundi antara 6,000 hingga 9,000 orang (19 DUN) dan 13 DUN lagi merekodkan peningkatan antara 9,000 hingga 12,000 orang


Bahagian Pilihan Raya yang mencatatkan peningkatan antara 6,000 hingga 9,000 ialah DUN Kuamut, Kadamaian, Sook, Sindumin, Sekong, Tanjung Keramat, Kunak, Kundasang, Merotai, Pantai Dalit, Tamparuli, Nabawan, Tanjong Kapor, Paginatan, Tunku, Luyang, Silam, Moyog dan DUN Segama.


Manakala DUN yang mencatatkan pertambahan pengundi antara 9,000 hingga 12,000 orang pula ialah DUN Tanjung Batu, Apas, Matunggong, Bandau, Tambunan, Sri Tanjong, Bugaya, Bingkor, Tandek, Darau, Sungai Sibuga, Elopura dan Liawan.


Mengenai statistik pengundi baharu berusia 18 hingga 20 tahun yang berdaftar di Sabah setakat Februari tahun ini, SPR berkata, sejumlah 138,085 orang pengundi baharu dalam golongan itu.


Berdasarkan statistik SPR secara keseluruhannya 1,671,606 pengundi berdaftar di Sabah sehingga Februari tahun ini.


Sejak Disember 2021 hingga Februari 2022, sejumlah 492,675 orang pengundi baharu berdaftar di negeri ini berumur antara 18 hingga 90 tahun ke atas.


Daripada jumlah itu pengundi berumur 21 hingga 29 tahun merekodkan daftar tertinggi 248,941 orang, diikuti pengundi 18 hingga 20 tahun seramai 138,085 orang dan seramai 72,064 orang berumur antara 30 hingga 39 tahun.


“Seramai 21,187 pengundi berumur 40 hingga 49 tahun, golongan berusia 50 hingga 59 tahun seramai 6,616 orang dan warga emas berusia 60 hingga 69 tahun sejumlah 3,583 orang.


"Warganegara Malaysia yang berumur 70 hingga 90 tahun ke atas yang belum pernah mengundi sejak negara merdeka juga ramai.


"Seramai 1,672 orang pengundi baharu berdaftar di Sabah sejak Disember 2021 hingga Februari 2022 adalah berumur 70 hingga 79 tahun, 404 orang (80 hingga 89 tahun) dan seramai 123 orang berumur 90 tahun dan ke atas," katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page