Ketua Menteri tinjau lokasi tanah runtuh, arah tindakan segera
- nabalunews
- Sep 14
- 2 min read

13 September 2025
PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan kerja-kerja pembaikan jalan yang terjejas akibat tanah runtuh di laluan Penampang–Tambunan dipercepatkan bagi menjamin keselamatan pengguna serta kelancaran perhubungan ke kawasan pedalaman.
“Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat. Kita mahu kerja-kerja pembaikan ini disiapkan segera supaya penduduk tidak terus terjejas,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Pogunon, pada Sabtu.
Sejurus tiba dari Kuching selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak , Hajiji terus ke lokasi tanah runtuh bersama Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.

Turut hadir, ADUN Kepayan, Datuk Jannie Lasimbang; serta Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung kerja- kerja pembaikan yang sedang dijalankan.
Hajiji mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, syarikat konsesi serta agensi berkaitan untuk menambah jentera dan bekerja 24 jam bagi memastikan laluan dua hala dapat dibuka semula dalam tempoh terdekat.
“Saya berkesempatan untuk melawat jalan raya yang runtuh daripada bukit sebelah sana. Jadi kita minta pihak JKR dan juga syarikat konsesi yang menyelenggara jalan ini supaya mengambil tindakan segera. Dan kita diberi jaminan dalam satu atau dua hari ini mereka boleh selesaikan laluan dua hala itu.
“Sekarang boleh digunakan cuma satu hala. Jadi mereka akan kerja 24 jam. Kita berharap
pengguna jalan raya ataupun rakyat di kawasan ini supaya bersabar sedikit. Biar Kerajaan mengambil tindakan sebaiknya,” jelasnya.
Selain masalah jalan, Hajiji berkata, talian elektrik yang terputus akibat kejadian itu juga perlu segera dipulihkan.
“Manakala talian elektrik yang putus akibat itu, kita minta pihak Sabah Elektrik untuk mengambil tindakan segera juga untuk menyambung bekalan ini. Dan saya sendiri akan berhubung dengan CEO Sabah Electricity Sdn Bhd.
“Kita berharap mereka akan mengambil tindakan secepat mungkin dalam masa terdekat ini,” katanya.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Air Sabah dan JETAMA memastikan bekalan air bersih
kembali normal di kawasan terjejas.
Katanya, semua usaha bantuan itu akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa yang terkesan.
“Siasatan awal mendapati tanah runtuh berkenaan dicetuskan oleh curahan hujan lebat berterusan selama tiga hari berturut-turut.
“Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman Public InfoBanjir, taburan hujan tertinggi direkodkan sebanyak 23.4 milimeter dalam tempoh 15 minit dan 82.5 milimeter dalam tempoh sehari pada 11 September lalu.
“Keadaan itu menyebabkan cerun di kawasan terbabit menjadi tidak stabil sehingga berlaku runtuhan besar,” katanya.


















Comments