Buli: Ibu Pelajar Buat Laporan Polis
- nabalunews
- 23m
- 2 min read

13 September 2025
KOTA KINABALU: Seorang wanita tampil membuat laporan polis berhubung kejadian buli yang menimpa anaknya di sebuah sekolah menengah di Limauan, Papar, baru-baru ini.
Difahamkan, dalam kejadian itu, anak wanita terbabit dibelasah pelajar senior disebabkan lambat masuk ke asrama kerana sebelum itu diarah untuk menggosok baju seorang lagi pelajar tingkatan 3.
Laporan polis pertama dibuat oleh ibu pelajar yang berusia 42 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September lalu sebelum laporan kedua di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Peguam mewakili ibu mangsa, Nurshalilah Fauzan Mailin berkata, kejadian berlaku pada jam 11 malam, 7 September lalu di dalam sekolah berkenaan.
Katanya, mangsa mendakwa ditendang di perut, ditampar pipi dan ditumbuk hidung oleh seorang pelajar tingkatan empat sehingga mengakibatkan kecederaan.
“Hari ini, anak guam saya telah membuat laporan tambahan lah berkaitan dengan kejadian buli. Kejadian buli ini berlaku pada 7 September, pada jam 11 malam.
“Yang mana, anak kepada anak guam saya ini merupakan pelajar tingkatan 2. Di sekolah tersebut dan telah ditendang di perut, ditampar dan juga ditumbuk hidungnya.
“Sehingga mengakibatkan kecederaan lah. Dan selain itu, pada malam yang sama juga, mangsa telah disuruh oleh pelajar tingkatan 3 untuk menggosok baju.
“Dan kejadian yang saya kata tendang itu dilakukan oleh pelajar tingkatan 4. Lepas itu, laporan polis telah dibuat lah sebenarnya di IPD Papar pada 9 September,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di IPD) Kota Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, anak guamnya membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh salah seorang guru sekolah berhubung kejadian itu.
Katanya, beliau percaya dan yakin IPD Papar mungkin sedang menjalankan siasatan, namun beberapa hari ini seolah-olah ada usaha cubaan untuk kes ini diselesaikan secara baik antara ibu bapa pelajar yang membuli dengan anak guamnya.
“Beberapa hari ini yang kami nampak seolah-olah ada usaha ataupun cubaan lah untuk kes ini diselesaikan secara baik di antara ibu bapa pelajar-pelajar yang membuli dengan pihak anak guam saya.
“Dan kami rasa kalau kes ini dibuat begitu, jenayah buli ataupun kesalahan dibuat seperti ini tidak dapat dibenteras kecuali dengan mengambil tindakan undang-undang kepada pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan”
Menurutnya, pihak sekolah sudah mengambil tindakan menggantung kedua-dua pelaja senior terbabit.
Comments