UMS Perkasa Kelestarian Marin Melalui Pelepasan 4,093 Benih Ketam Bakau
- nabalunews
- 12 minutes ago
- 2 min read

26 November 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh komitmennya dalam pemuliharaan sumber marin melalui pelaksanaan program pelepasan sebanyak 4,093 benih ketam bakau di Tasik Sitompok Kuala Penyu, baru-baru ini.
Program tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) dan Jabatan Perikanan Negeri Sabah (JPNS).
Program itu juga menjadi antara usaha signifikan UMS dalam menyokong kelestarian biodiversiti pesisir pantai serta memastikan kesinambungan ekosistem marin di Sabah.
Program dirasmikan bersama oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly.
Menurut Rosalam, UMS komited dalam memberi keutamaan kepada usaha konservasi berasaskan data dan bukti saintifik yang kukuh, khususnya dalam memastikan kelestarian sumber perikanan.
“Inisiatif tersebut merupakan manifestasi semangat kolaborasi ‘Triple Helix’ yang melibatkan kerjasama strategik antara pihak akademik, kerajaan, dan komuniti setempat.
“Program ini bukan sekadar aktiviti bermusim, tetapi hasil penyelidikan menyeluruh yang merangkumi teknik pembenihan optimum, penilaian kesihatan ekosistem serta pendekatan pengurusan perikanan mampan.
“Usaha penyelidikan berterusan ini penting bagi menjamin kelangsungan pendapatan masyarakat Kuala Penyu yang bergantung kepada sumber pesisir pantai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah JPNS, Matlan @ Abd. Rahim Thaufeck menyifatkan ketam bakau sebagai ‘jurutera ekosistem’ yang memainkan peranan penting dalam kitaran nutrien dan keseimbangan ekologi kawasan bakau.
“Pelepasan benih ini adalah langkah stock enhancement bagi memulihkan populasi ketam bakau yang semakin berkurangan.
Pembenihan dijalankan secara intensif bermula Ogos 2025 di Hatceri Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah, Tuaran, bagi memastikan kualiti genetik dan kadar kelangsungan yang lebih baik,” tambahnya.
Pelepasan fasa pertama telah dilakukan pada 12 November tahun ini melibatkan 1,527 benih, manakala fasa kedua pada 19 November melibatkan 2,566 benih ketam bakau.
Turut diadakan sesi ceramah pemindahan ilmu kepada komuniti setempat yang disampaikan oleh Pensyarah IPMB UMS, Dr. Thien Fui Yin dan wakil JPNS Mohd Fadzlini Ghani.
Ceramah tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan konservasi serta menggalakkan mereka menjadi Duta Pemuliharaan Ketam Bakau.


















Comments