Maritim Malaysia Rampas 60 Tong Jerrycan Berisi Minyak Petrol Bersubsidi
- nabalunews
- 8 minutes ago
- 1 min read

26 November 2025
SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), berjaya merampas 60 tong ‘jerrycan’ berisi minyak petrol bersubsidi dalam operasi di perairan Kampung Selamat, di sini, semalam.
Semua minyak petrol berkenaan dirampas menerusi operasi Ops Pluto Timur 2/2023, yang digerakkan hasil maklumat risikan Unit Risikan Zon Maritim Semporna berkaitan aktiviti penyimpanan bahan bakar untuk diseludup keluar negara.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, rampasan dilakukan bot peronda ADAL 18 milik Maritim Malaysia yang mengesan sebuah pondok di kawasan paya bakau.

Katanya, pondok berkenaan dipercayai dijadikan lokasi transit minyak petrol bersubsidi sebelum cuba diseludup.
“Sebaik diserbu, penghuni pondok yang menyedari kehadiran pihak berkuasa sempat melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 60 jerrycan petrol yang disembunyikan di pondok berkenaan dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM5,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua barang rampasan dibawa ke Jeti Azumi Semporna dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, Amir berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan dan operasi dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi memastikan usaha membanteras aktiviti penyeludupan di perairan daerah Semporna dapat dijayakan.


















Comments