DUN Sabah lulus RUU Perbekalan Tambahan 2026 libatkan peruntukan tambahan RM1.6 bilion
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 yang menyediakan tambahan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion bagi membiayai keperluan perbelanjaan operasi dan pembangunan kerajaan negeri sehingga penghujung tahun ini.
RUU berkenaan diluluskan selepas selesai dibahaskan oleh 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum mendapat sokongan sebulat suara daripada semua ahli dewan.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penyediaan Anggaran Peruntukan Tambahan (APT) adalah sebahagian daripada proses pengurusan kewangan kerajaan yang membolehkan keperluan perbelanjaan yang timbul selepas pembentangan belanjawan tahunan dibiayai secara teratur.
Beliau menegaskan pembentangan APT tidak wajar dianggap sebagai kelemahan dalam penyediaan Belanjawan Sabah 2026, sebaliknya merupakan amalan biasa bagi memenuhi keperluan semasa yang tidak dapat dijangka sepenuhnya ketika belanjawan disediakan.
“Belanjawan tahunan dirangka berdasarkan dasar kerajaan, keutamaan pembangunan, unjuran hasil serta maklumat yang ada pada masa penyediaannya.
“Sebarang permohonan tambahan pula akan dinilai secara teliti dengan mengambil kira keperluan sebenar, prestasi perbelanjaan, kedudukan kewangan kerajaan serta kepentingannya terhadap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan DUN Sabah di sini.
Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan keupayaan kerajaan negeri menyesuaikan perbelanjaan mengikut keperluan semasa tanpa mengabaikan prinsip disiplin fiskal, akauntabiliti dan tadbir urus kewangan yang baik.
Pada pembentangan RUU itu sebelum ini, Masidi memaklumkan tambahan peruntukan berjumlah RM1.6 bilion berkenaan melibatkan 53 kepala perbelanjaan.
Daripada jumlah itu, RM856 juta diperuntukkan bagi caruman kepada kumpulan wang berkanun, RM278 juta untuk perbelanjaan operasi, RM210 juta bagi pelaburan, RM162 juta untuk perbelanjaan pentadbiran, RM93 juta bagi pemberian dalam negeri serta RM13 juta sebagai peruntukan khas.
Dalam masa sama, beliau berkata Penyata Tambahan Anggaran Pembangunan 2026 turut melibatkan tambahan peruntukan RM435.54 juta membabitkan 35 kepala perbelanjaan di bawah sembilan kementerian.
Daripada jumlah itu, RM216.34 juta atau 49.7 peratus akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Negeri, manakala baki RM219.20 juta atau 50.3 peratus dibiayai menerusi Pinjaman Persekutuan.















Comments