top of page
Wartawan Nabalu News

DUN Sabah terlepas peluang perkukuhkan Ketua Menteri tidak iktiraf tuntutan Sulu


21 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyatakan sidang Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini terlepas peluang bagi membuat ketetapan menolak tuntutan Sulu atau Filipina ke atas Sabah dan memperkukuhkan Ketua Menteri yang telah menyatakan tidak mengiktiraf tuntutan tersebut.


“Saya telah mengemukakan dua usul untuk dibentangkan semasa sidang DUN kali ini. Salah satunya agar DUN membuat ketetapan untuk menolak tuntutan Sulu atau Filipina ke atas Sabah dan agar Kerajaan Malaysia tidak membayar apa-apa bayaran yang dibuat oleh penimbang tara berjumlah lebih RM63 bilion.


“Saya diberitahu bahawa usul ini ditolak kerana Ketua Menteri telah membuat kenyataan akhbar tidak mengiktiraf tuntutan tersebut.


“Kemudian saya ingin menyatakan justifikasi usul ini semasa menyampaikan perbahasan saya, dan seterusnya agar kesemua ADUN menolak tuntutan tersebut sepertimana ditegaskan oleh Ketua Menteri.


"Ketetapan DUN tersebut, jika diteruskan dan dilaksanakan oleh Speaker, akan memperkukuhkan Ketua Menteri dan lebih meyakinkan rakyat Sabah. Bagaimanapun, saya telah dihalang untuk meneruskan perbahasan saya mengenai isu ini,” katanya.


Ewon bagaimanapun menyatakan rasa hormat kepada Timbalan Speaker, Datuk Ahmad Abdul Rahman yang mempengerusikan sidang semasa beliau menyampaikan perbahasan dan menerima ketetapan yang dibuat agar beliau tidak meneruskan ucapan mengenai tuntutan Sulu dan keputusan penimbang tara tersebut.


“Saya percaya saya telah mengangkat kehendak rakyat Sabah yang mahukan isu ini diselesaikan termasuk dibahas dan dimuktamadkan di sidang DUN ini.


"Namun saya menghormati keputusan speaker untuk tidak meneruskan perbahasan tersebut. Saya kembalikan kepada rakyat untuk membuat penilaian,” katanya.


Ewon menyatakan demikian kepada media apabila ditanya lebih lanjut mengenai usul dan perbahasan beliau mengenai tuntutan Sulu di sidang DUN hari ini.

Comments


bottom of page