Dusuki dilantik Peguam Negara baharu, Terrirudin sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan
11 November 2024
KUALA LUMPUR: Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu, berkuat kuasa esok, menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Pelantikan beliau diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul Azri berkata, pelantikan Mohd Dusuki selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Mohd Dusuki, 57, dilahirkan di Machang, Kelantan, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau yang turut berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia, mempunyai pengalaman yang luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di AGC.
"Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin atas perkhidmatan beliau kepada negara selama memegang jawatan sebagai Peguam Negara," menurut kenyataan itu.
Spekulasi sebelum ini menyenaraikan Mohd Dusuki antara lima pegawai kanan di AGC untuk dilantik ke jawatan Peguam Negara.
Empat yang lain ialah Peguamcara Negara (I), Datuk Suzana Atan; Peguamcara Negara (II), Datuk Umar Saifuddin Jaafar; Ketua Bahagian Pendakwaan AGC, Datuk Masri Mohd Daud dan Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Sementara itu, Ahmad Terrirudin, 56, yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 April 1968, pernah bertugas sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik Peguam Cara Negara pada 25 Mac 2022.
Beliau dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 September 2023 menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September 2023.
Terrirudin, yang memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada 1992, sudah berkhidmat di pelbagai kedudukan, termasuk hakim Mahkamah Sesyen dan kemudian dilantik pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Beliau juga pernah menjadi timbalan ketua jabatan sivil di Pejabat Peguam Negara dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang Kedah, sebelum dilantik ketua pendaftar di Mahkamah Persekutuan pada 2019.
Comments