E-DAGANG BANTU PASARKAN PRODUK IKS SABAH
26 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian berkolaborasi dengan beberapa pihak swasta di Sabah untuk memasarkan produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah secara e-Dagang ke pasaran tempatan Sabah, Semenanjung Malaysia dan peringkat global.
Menterinya Datuk Dr.Joachim Gunsalam berkata antara inisiatif yang dilaksanakan ialah platform e-dagang dengan kolaborasi Persatuan Usahawan Digital Industri Kecil Sabah (PERDIKS).
“Ia bertujuan untuk memasarkan produk-produk keluaran IKS Sabah melalui Epasar Sabah dan online Shopee Malaysia.
“Kolaborasi-kolaborasi lain pihak kementerian ini dan agensi di bawahnya dengan pihak swasta untuk memasarkan produk-produk Sabah adalah platform marketplace BorneoKaki dan ShopDirect. Applikasi BorneoKaki juga boleh dimuat-turun di Google Playstore,” katanya.
Joachim berkata, kementeriannya juga menganjurkan kursus-kursus pemasaran online melalui social media untuk usahawan.
Selain itu katanya Kementerian turut menganjurkan kursus Sistem Digital Perakaunan bagi IKS memacu transformasi digital di Sabah.
“Selari dengan tuntutan semasa, latihan anjuran SEDCO melalui Sedcovest Holdings Sdn Bhd turut menerapkan pendigitalan perniagaan di kalangan usahawan.
“Sepanjang 2019-2020, sebanyak 10 kursus berkaitan perniagaan atas talian dianjurkan melibatkan seramai 232 peserta. Modul-modul yang dilaksanakan termasuk pemasaran era digital, Facebook advertising, serta Facebook and Instagram for Business,” katanya.
Beliau berkata, bagi tahun 2021, sebanyak empat kursus akan dianjurkan meliputi modul Graphic Design, website design, copywriting dan online marketing.
Comentários