top of page

ECoS Tidak Kenakan Bayaran Tinggi Untuk Kelulusan Pepasang Genset

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read


16 Mei 2025


KOTA KINABALU: “Energy Commission of Sabah (ECoS) tidak mengenakan bayaran tinggi untuk mendapatkan kelulusan pepasangan genset tunggu sedia”.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, ECoS hanya mengenakan satu fi iaitu kadar fi tahunan seperti yang termaktub dalam Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024.


Katanya, kadar itu masih sama seperti yang digunakan Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 sebelum ini.


“Kadar fi tahunan itu adalah bergantung kepada kapasiti pepasangan yang bermula dengan RM30 (untuk kapasiti 10kW dan ke bawah) sehingga RM3,000 (untuk kapasiti melebihi 5,000 kW).


“Sehubungan itu, maklumat yang ditularkan dalam media sosial kononnya ECoS mengenakan bayaran yang terlalu tinggi adalah kurang tepat.


“Bayaran yang dimaksudkan dalam video itu mungkin sebut harga yang ditawarkan oleh juruperunding atau kontraktor yang dilantik sendiri oleh pemunya pepasangan bagi melaksanakan pengujian dan penyediaan dokumen untuk pendaftaran pepasangan.


“Kos-kos ini tidak dibayar kepada ECoS. ECoS adalah agensi kawal selia dan bukannya entiti perniagaan untuk membuat keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Nasser menegaskan, ECoS tidak menetapkan jadual harga bagi kos melibatkan perkhidmatan juruperunding atau kontraktor, sebaliknya ditentukan harga pasaran dan bergantung kepada persetujuan di antara pemunya aset pepasangan dengan juruperunding atau kontraktor yang mereka lantik sendiri.


Katanya, pemunya aset boleh mendapatkan senarai kontraktor dan konsultan yang bertauliah dari laman web ECoS untuk mendapatkan tawaran yang terbaik.


“Mana-mana pepasangan
seperti genset tunggu sedia sepatutnya sudah lengkap dengan dokumen-dokumen seperti Borang G (perakuan penyiapan), Borang H (perakuan ujian) dan single line diagram ketika mula-mula pepasangan itu dipasang.


“Pemunya sepatutnya menyimpan dokumen-dokumen ini untuk rujukan masa hadapan dan juga memastikan pepasangan tersebut telah diuji selamat sebelum digunakan.


“Bagi pepasangan yang sebelum ini pernah didaftarkan dengan ST di mana dokumen-dokumen asal seperti Borang G dan Borang H telah dimajukan kepada ST, maka pemunya hanya perlu membuat deklarasi dan akan diberikan kelonggaran dengan syarat bahawa tiada perubahan dibuat ke atas
pepasangan sepertimana pendaftaran asal dengan ST,” katanya.


ECoS juga memaklumkan bahawa pemunya boleh membuat permohonan pendaftaran dengan sendiri secara dalam talian dengan percuma melalui portal ECoS Online System (EOS) dan memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan untuk mengurangkan bayaran kepada juruperunding atau kontraktor.

Badan itu turut menyarankan orang ramai untuk merujuk kepada pejabat ECoS sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan.


“Keselamatan adalah keutamaan kami dan pendaftaran pepasangan adalah langkah penting dan tidak boleh diambil remeh dalam memastikan semua pepasangan elektrik di Sabah mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan demi keselamatan orang ramai dan harta benda,” katanya.


Kenyataan beliau itu bagi memberi penjelasan berkaitan prosedur dan keperluan pendaftaran pepasangan elektrik di Sabah selaras dengan peruntukan Enakmen Bekalan Elektrik 2024.


Abdul Nasser berkata, berdasarkan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, pemunya pepasangan genset tunggu sedia, perlu mendaftarkan pepasangan mereka dengan ECoS.


Bagaimanapun, katanya pendaftaran pepasangan bukanlah sesuatu yang baharu diperkenalkan oleh ECoS tetapi sudah lama dikuatkuasakan sebelum ini oleh ST melalui Akta Bekalan Elektrik 1990.


“Pendaftaran pepasangan adalah satu mekanisme untuk ECoS memastikan setiap pepasangan adalah selamat melalui semakan maklumat pepasangan, pemasangannya dan pengujian yang perlu dilaksanakan oleh orang kompeten serta keperluan lawatan pemeriksaan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page