EERace memperkasa belia dalam melestari alam sekitar
- nabalunews
- Jul 27, 2024
- 2 min read

27 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Kursus EERace atau Perlumbaan Pendidikan Alam Sekitar yang dianjurkan bersama ahli-ahli Sabah Environmental Education Networks (SEEN) pada edisi ke-28 kali ini terus memperkasa belia dalam melestari alam sekitar serta menelusuri keindahan hutan dara serta amalan pengurusan sampah yang baik di Sandakan dan sekitarnya.
EERace ini juga merupakan program pendidikan alam sekitar yang unik, yang pada asalnya direka bentuk khas untuk guru-guru oleh Rainforest Discovery Centre (RDC) pada tahun 2005.
Kursus ini telah diubahsuai untuk memenuhi pelbagai peserta sasaran.
Sejak tahun 2006, lebih 750 orang guru dan 120 orang pengamal pendidikan alam sekitar juga telah berjaya dilatih menerusi kursus ini.
RDC Sandakan dan SEEN juga menganjurkan 27 kursus EERace (termasuk 3 simulasi) yang telah diperkukuhkan untuk menekankan pelbagai inisiatif pemuliharaan di Sabah.
Manakala SEEN merangkumi Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Hidupan Liar, Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC), Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Hutan Hujan Tropika (TRCRC), Seratu Aatai, dan Projek Pemuliharaan Orangutan Kinabatangan (HUTAN).
Edisi ke-28 EERace telah diadakan selama 6 hari di RDC, Sepilok, Sandakan dan disertai oleh 41 peserta belia berusia di antara 21 hingga 40 tahun yang terdiri daripada guru-guru dan wakil dari agensi yang terlibat dalam pendidikan alam sekitar.
Majlis penutupan EERace Ke-28 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Konservator Hutan (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr. Arthur Chung yangl mewakili Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan.
"Jabatan Perhutanan Sabah sangat komited dalam EERace, bukan sahaja untuk memberi kesedaran mengenai pengurusan hutan secara mampan, tetapi juga dari pelbagai sudut konservasi lain yang dijalankan oleh rakan-rakan konservasi kita," kata Frederick dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Arthur.
Katanya Jabatan Perhutanan Sabah membelanjakan lebih daripada RM55,000 untuk EERace tahun ini.
Dan ini tidak termasuk sumbangan dan kos lain yang ditanggung oleh rakan-rakan konservasi seperti makanan, penginapan, pengangkutan, bahan-bahan untuk menjalankan aktiviti serta tenaga kerja mereka.
"Walaupun kos keseluruhan penganjuran EERace ini agak tinggi, saya yakin bahawa ini merupakan satu pelaburan untuk masa depan Sabah dimana semua masyarakat bertanggungjawab terhadap kesejahteraan alam sekitar," ujarnya.
Pada edisi kali ini, kursus itu turut dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi seperti Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), IOI Plantation Services Sdn. Bhd., Megamas Plywood Sdn. Bhd., Eco Material Sdn. Bhd., Wild Asia Sdn. Bhd., Borneo Samudera Sdn. Bhd., Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad (KOPEL), Kampung Baru dan Kampung Asam Manis Pulau Timbang, Sandakan.
Comentarios