Eko-Pelancongan 3V Kampung Nahaba, Contoh Unggul Kejayaan Inisiatif Berasaskan Komuniti
nabalunews

7 Disember 2024
KOTA BELUD: Eko-Pelancongan Villa Valley View (3V) Kampung Nahaba di sini, terus menjadi contoh unggul kejayaan inisiatif berasaskan komuniti yang mengutamakan pembangunan ekonomi, pemeliharaan budaya dan kesatuan masyarakat.
Pada program Hari Keluarga 3V yang berlangsung meriah pada Jumaat, 6 Disember bertempat di Mini Dewan 3V yang disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, 87 ahli 3V menerima bonus sebagai penghargaan atas kesatuan dan komitmen mereka terhadap pembangunan eko-pelancongan.
Pengerusi Eko-Pelancongan 3V, Padis Magisan berkata bonus yang diberikan itu adalah sebagai pengiktirafan kepada ahli 3V atas dedikasi, kebersamaan berpasukan dan minat mendalam mereka untuk memastikan Eko-Pelancongan Villa Valley View Kampung Nahaba terus cemerlang dalam industri pelancongan tempatan.
“Walaupun beroperasi sejak 2017 dan berdaftar secara rasmi, kami masih berdepan pelbagai cabaran. Permohonan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, diharap dapat memberikan sinar kepada usaha kami,” kata Padis.
"Program tahunan ini juga menjadi platform bagi ahli berkongsi pandangan serta memperkukuhkan hubungan dalam kalangan warga 3V dan masyarakat Kampung Nahaba," tambah beliau.
Saikom dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan 3V atas kejayaan mereka menjana pendapatan tambahan untuk ahli. Beliau turut menyatakan komitmennya untuk bersama-sama membantu menangani cabaran yang dihadapi oleh Eko-Pelancongan 3V.
“Sebagai PPM, saya dan kita semua akan berusaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini selaras dengan kemampuan dan keupayaan yang ada,” katanya.
Program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti sukaneka, pertandingan teka benda, cabutan tiket bertuah, dan persembahan budaya seperti paluan gong serta pencak silat. Kesemua aktiviti ini berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti Kampung Nahaba.
Hidangan makan tengahari tradisional turut disajikan kepada para jemputan yang memperkenalkan keunikan kulinari tempatan.
Comments