Eko Pelancongan Kampung Tolus Terima Sumbangan Naik Taraf Kemudahan
nabalunews

5 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Eko Pelancongan Komuniti Kampung Tolus Kelawat Kota Belud terus mendapat sokongan dengan menerima sumbangan untuk menaik taraf kemudahan awam di kawasan pelancongan berkenaan.
Sumbangan diterima daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Sumbangan disampaikan Pegawai Kemajuan Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Juin Kolod, kepada Pengerusi Eko Pelancongan Komuniti Kampung Tolus, Frexshelly Ramle.
Menurut Frexshelly, sumbangan berkenaan akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan tandas awam bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
“Kami sangat berterima kasih kepada YB Ewon atas keprihatinan beliau terhadap keperluan kami.
“Dengan sumbangan ini, kami dapat memastikan kemudahan di Eko Pelancongan Komuniti Kampung Tolus lebih baik dan memberi pengalaman yang lebih selesa kepada pelancong,” katanya.
Sementara itu, Juin berkata, Ewon selaku wakil rakyat Kadamaian sentiasa peka terhadap keperluan dan kekurangan yang dihadapi oleh pengusaha pelancongan di kawasan Kadamaian.
“Beliau bukan saja memberi perhatian kepada sektor pelancongan tetapi juga kepada usahawan di kawasan ini.
“Sokongan seperti ini amat penting bagi memastikan ekosistem pelancongan dan keusahawanan di Kadamaian terus berkembang,” katanya.
Juin berkata, sumbangan ini juga diharapkan dapat memperkukuh lagi daya tarikan Kampung Tolus sebagai destinasi eko pelancongan yang semakin popular di Kota Belud.
Opmerkingen