Eko Pelancongan Tagal Ikan jinak Melangkap Tiong terima Anugerah Khas, geran pembangunan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Eko Pelancongan Tagal Ikan Jinak Melangkap Tiong terima Anugerah Khas, geran pembangunan



27 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Komuniti Eko Pelancongan Tagal Ikan jinak Melangkap Tiong, di sini, menerima Anugerah Khas Sumber Air dan geran pembangunan RM20,000 sempena Sambutan Ulang Tahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS ) dan Sambutan Hari Sungai Sedunia 2022.


Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada sambutan Hari Sungai Sedunia, di Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda, Sungai Petani, Kedah, pada Ahad lalu.


Setiausaha Eko Pelancongan Tagal Ikan jinak Melangkap Tiong, Anichlose Kesimin berkata, kemenangan itu amat membanggakan dan akan menjadi pemangkin kepada komuniti untuk terus meningkatkan lagi kualiti Perhidmatan Eko Pelancongan di kampung itu.


"Syabas kepada semua komuniti Eko Pelancongan Tagal Ikan jinak kerana atas usaha dan kerjasama kita sejak sembilan tahun lalu, akhirnya membuahkan hasil apabila kita menerima pengiktirafan tertinggi di peringkat kebangsaan.


“Kami akan menggunakan hadiah kemenangan itu untuk menaiktaraf kawasan Eko Pelancongan Tagal Ikan Jinak,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Anichlose berkata, antara peranan utama penduduk kampung mencapai objektif Hari Sungai Sedunia ialah memastikan kebersihan sungai sentiasa terpelihara.


“Kami menanam pokok-pokok hiasan di tebing-tebing sungai untuk mengindahkan kawasan dan bagi memastikan kelestarian hidupan akuatik di sungai.


"Sepanjang 2 kilometer Sungai Peramat telah di ‘tagal’ untuk melindungi hidupan akuatik sungai termasuk ikan Pelian (ikan Kelah).


“Kami juga membuat undang-undang atau peraturan sendiri untuk melarang penebangan pokok disepanjang kawasan koridor sungai dan pembuangan sampah dalam persekitaran sungai,” katanya.


Wakil komuniti eko pelancongan yang hadir pada majlis itu ialah Domius Salindap (Pengerusi), Kundian Sumbin (Timbalan Pengerusi), Anichlose dan Sakimin Setan (Bendahari).


Anichlose turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) Walter Kandayon dan JPS Sabah yang telah memilih Eko Pelancongan Tagal Ikan Jinak Kg. Melangkap dan mengiringi mereka sejak dari Pembentangan di Putrajaya dan Menerima Anugerah.


Eko Pelancongan Ikan Jinak Melangkap Tiong Kota Belud, satu-satunya eko pelancongan di Sabah dicalonkan dalam Anugerah Khas Sumber Air Negara, tahun ini.

bottom of page