top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ekonomi MADANI: Belanjawan 2025 tumpu pembaharuan berterusan, struktur semula ekonomi – PM Anwar


10 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Belanjawan 2025 akan memberi fokus utama kepada pelaksanaan pembaharuan berterusan dalam usaha mencapai hasrat Ekonomi MADANI.

 

Beliau berkata, belanjawan yang dibentangkan sebelum ini telahpun menyentuh mengenai penstrukturan semula negara, dan Belanjawan 2025 akan terus memperkukuhkan usaha tersebut.

 

"Belanjawan sebelum ini telah pun menemui pelbagai cara penambahbaikan termasuk pindaan dan langkah-langkah berterusan dalam menambahbaik tatakelolanya.Ini sebagai prasyarat sebelum kita dapat laksanakan dengan berkesan.

 

"Dan ini yang kita tekankan menaikkan siling, supaya penstrukturan semula ekonomi itu dalam memacu pertumbuhan, maknanya daya cipta, daya saing, pendigitalan, bidang AI (kecerdasan buatan) yang diterokai dan juga platform dalam penjawat awam, perkhidmatan awam umumnya,"jelas Anwar dalam ucapannya pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini.

 

Anwar turut menekankan perlunya kaedah baharu untuk menghasilkan pendekatan dan dasar baharu, termasuk usaha menaikkan "siling" dan "lantai" ekonomi bagi memastikan semua golongan mendapat manfaat daripada pembaharuan yang dilaksanakan.

 

Selain itu, beliau menggesa agensi penguatkuasaan dan penjawat awam untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan mereka.

 

Ujar beliau, ini penting bagi memastikan inisiatif pelarasan gaji yang akan dilaksanakan kerajaan berjalan seiring dengan budaya kerja yang lebih cekap.

 

Anwar turut mengingatkan penjawat awam untuk mengekalkan budaya berintegriti bagi membanteras ketirisan dan salah laku.

 

"Saya gesa rakan-rakan yang terlibat, termasuk dalam agensi penguatkuasaan, supaya bertindak dengan lebih pantas dan berkesan," ujarnya.

 

"Penjawat awam perlu lebih efisien. Kita mahu melaksanakan pelarasan gaji, tetapi tidak munasabah untuk melaksanakannya jika tiada perubahan nyata, jelas, dan pembaharuan dalam aspek memastikan kecekapan, mengelakkan kebocoran, ketirisan, dan rasuah," tegas Anwar.

 

Belanjawan 2025, yang dijadual dibentangkan pada Oktober ini, dijangka menjadi fokus utama kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan pembaharuan berterusan dan penstrukturan semula ekonomi yang mampan.

Comments


bottom of page