Ekspedisi Bukit Tawai Semarak Patriotisme, Gaya Hidup Bebas Dadah
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

1 September 2025
TELUPID: Sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah 2025, lebih 40 belia menyertai Ekspedisi Skuad: Mendaki Bukit Tawai anjuran Skuad Antidadah Daerah Telupid dengan kerjasama agensi kerajaan, komuniti serta pertubuhan belia setempat.
Program disempurnakan Penolong Pegawai Daerah Telupid, Muhammad Nasrul Omar, manakala Emmanuel Atin, Pengerusi Skuad Antidadah Telupid merangkap Ketua Generasi Muda UPKO Beluran, bertindak sebagai pengerusi penganjur.
Emmanuel berkata, ekspedisi itu bertujuan memperkukuh peranan belia sebagai ejen pencegahan dadah dan menyemarakkan semangat patriotisme.

Katanya, ia juga mampu meningkatkan kecergasan fizikal dan mental selain menanam kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar.
“Pendakian Bukit Tawai bukan sekadar rekreasi, tetapi simbol perjalanan hidup belia yang penuh cabaran serta memerlukan disiplin dan daya tahan.
“Belia mesti menjadi benteng utama dalam uaaha menolak gejala negatif, khususnya jenayah dadah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Antara yang turut hadir wakil Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sandakan, Pejabat Daerah Telupid, Skuad Antidadah Telupid dan Kinabatangan, Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Beluran & Telupid, serta belia berusia 18 hingga 45 tahun.
Dengan tema “Belia Bebas Dadah, Cinta Negara”, penganjuran ini diyakini dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara pihak berkuasa dan komuniti, selain membentuk generasi muda berjiwa patriotik, sihat serta berdaya tahan.
Emmanuel berkata, penglibatan pelbagai pihak ini membuktikan bahawa pendekatan bersepadu melibatkan kerajaan, agensi dan komuniti adalah kunci kepada keberkesanan usaha melahirkan belia bebas dadah.

Katanya, ekspedisi itu berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat dan bebas dadah, selain memperkukuh hubungan strategik antara agensi kerajaan, komuniti dan belia tempatan.
“Lebih penting, ia membentuk belia berdisiplin, sihat fizikal dan mental, serta berjiwa patriotik, sekali gus menjadi benteng menolak gejala negatif yang boleh merosakkan masa depan generasi muda.

“Ekspedisi ini sekali gus mengangkat peranan belia sebagai tonggak utama dalam usaha membina negara bangsa yang kuat, sejahtera dan bebas daripada ancaman dadah,”katanya.
Comments