Ellron bimbang penggunaan bahasa ibunda semakin luntur dalam kalangan generasi muda
- nabalunews
- May 10, 2025
- 2 min read

10 Mei 2025
SOOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook Datuk Ellron Angin melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan bahasa ibunda yang semakin luntur dalam kalangan generasi muda, khususnya komuniti Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
Katanya, sebagai anak jati daerah ini, beliau amat cakna dan prihatin agar ada usaha untuk mengekalkan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pertuturan harian dikalangan keluarga.
"Bahasa adalah tunjang utama identiti dan warisan bangsa apabila bahasa kita pupus, maka hilanglah jati diri dan akar budaya kita" katanya.
Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Kaamatan Mukim Sook (A) di Dewan Masyarakat Sook di sini pada Jumaat.
Justeru katanya, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda agar mereka mencintai bahasa ibunda disamping memahami, menghargai dan menghayati adat, budaya serta tradisi KDMR yang telah sekian lama membentuk nilai-nilai murni dalam masyarakat KDMR.
Pada masa sama Ellron menyokong sepenuhnya usaha Mahkamah Anak Negeri Sabah sebagai pemegang adat tempatan dalam mengusulkan program-program pemeliharaan budaya.
Jelasnya, inisiatif sebegini bukan sahaja penting untuk mengekalkan warisan yang berharga, tetapi juga untuk memperkukuhkan perpaduan serta membentuk hala tuju budaya yang lebih tersusun dan mampan bagi generasi akan datang.
Mengenai sambutan Pesta Kaamatan yang dismbut di setiap mukim di daerah ini, Ellron berkata, sesuai dengan Kaamatan tahun ini "Kaamatan untuk semua", ia menjadi wadah mempereratkan silaturahim, menyemai rasa bangga terhadap budaya sendiri, dan menyuburkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
Katanya, penganjurannya disetiap mukim memberi peluang kepada masyarakat setempat menikmati suasana sambutan Pesta Kaamatan.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan Pesta Kaamatan Mukim Sook (A) pada tahun ini.
"Komitmen dan semangat gotong-royong yang ditunjukkan amatlah membanggakan dan mencerminkan kekuatan perpaduan dalam komuniti kita" katanya.
Turut hadir Setiausaha Politik Kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah Jreneus Pagut, Ketua Daerah Sook Lanusag Etap @ Raipol dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sook Tony Talasoi.















Comments