top of page

Empat Kampung di Daerah Kecil Pagalungan dibekalkan Starlink

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read

Ghani bersalam-salaman dengan para penerima STR.
Ghani bersalam-salaman dengan para penerima STR.

22 Julai 2025


PAGALUNGAN: Empat kampung di daerah kecil ini masing-masing menerima satu set starlink sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.


Kampung yang menerima sumbangan peranti telekomunikasi itu adalah Eko Pelancongan Tahas Tininting Salinatan, Kampung Babalitan, Kampung Silungai dan Kampung Kuala Tumalasak.


Menurut Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), beliau menyumbang peranti telekomunikasi itu bagi memudahkan penduduk di kampung-kampung berkenaan mendapat akses perhubungan telekomunikasi kepada masyarakat luar terutama ahli keluarga yang tinggal di luar daerah.

Ghani (tengah) menyampaikan set starlink kepada Ketua Anak Negeri (KAN) Start Andipoh mewakili pihak pengurusan Eko Pelancongan Tahas Tininting Salinatan.
Ghani (tengah) menyampaikan set starlink kepada Ketua Anak Negeri (KAN) Start Andipoh mewakili pihak pengurusan Eko Pelancongan Tahas Tininting Salinatan.

Katanya, kedudukan kampung-kampung tersebut terpencil dan jauh dari kawasan pekan yang mempunyai rangkaian telekomunikasi menyebabkan mereka sukar mendapatkan informasi berkaitan dasar-dasar kerajaan dan sebagainya.


"Kita berharap dengan adanya peranti telekomunikasi tersebut mereka dapat akses sama ada melalui aplikasi media sosial seperti facebook, whatsapp, tiktok dan sebagainya" katanya selepas menyerahkan peranti itu dalam satu majlis ringkas di Pensiangan pada Sabtu lepas.


Selain itu Ghani juga menyumbang sebuah generator kepada gereja BCCM Babalitan dan wang tunai kepada Paroki BCCM Kawasan Pagalungan.


Terdahulu Ghani melancarkan Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada penerima yang tidak mempunyai akaun bank bagi Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan yang berpusat di Dewan Terbuka Majlis Daerah Nabawan dan Dewan Terbuka Pagalungan.


Bagi Daerah Nabawan seramai 963 penerima manakala di Daerah Kecil Pagalungan seramai 361 penerima.


Ketika ditemui pada program itu Ghani merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak yang melaksanakan program itu yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah Nabawan kerana ia memudahkan kepada penerima mendapatkan STR senarai tunai tanpa berurusan di agensi dan bank yang berkenaan di Keningau.


Katanya, cara ini bukan saja menjimatkan masa kepada para penerima tetapi sekali gus menjimatkan kos perjalanan mereka.


Beliau turut berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada masyarakat yang menerima untuk mendapatkan keperluan masing-masing.


Pada masa beliau menasihatkan kepada penerima agar dapat menggunakan sumbangan dengan berhemah dan untuk keperluan yang betul-betul diperlukan.


Hadir sama Pegawai Daerah Nabawan Ts Marshal Anthony @ Idham dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page