top of page

Kementerian Komunikasi terima cadangan Madius, naik taraf liputan internet perkampungan di Tuaran dalam Projek JENDELA Fasa 2

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

10 Mac 2026


KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi menerima cadangan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, untuk memasukkan beberapa kampung di daerah Tuaran, ke dalam pelaksanaan Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 bagi memperluaskan liputan internet di kawasan luar bandar.


Madius berkata, isu kekurangan capaian internet di beberapa kampung di kawasan berkenaan telah dibangkitkannya melalui soalan bertulis dalam Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Beberapa kawasan di daerah Tuaran masih belum menikmati kemudahan internet yang memadai sehingga kini.


“Dalam soalan ini saya membangkitkan beberapa tempat seperti sekitar Kampung Mangkaladoi, Koporingan, Minangkob, Lokos dan Betutai yang masih mempunyai capaian internet yang tidak memuaskan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.


Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, Kementerian Komunikasi melalui jawapan bertulis memaklumkan bahawa semakan pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia Malaysia (MCMC) wilayah Sabah mendapati beberapa kampung yang dibangkitkan itu masih belum mempunyai infrastruktur komunikasi berhampiran.


“Bagi Kampung Mangkaladoi, Kampung Koporingan dan Kampung Minangkob didapati belum mempunyai infrastruktur komunikasi dalam lingkungan radius dua kilometer daripada lokasi kampung-kampung tersebut.


“Sehubungan itu, kementerian memaklumkan bahawa kawasan tersebut akan dimasukkan dalam perancangan pelaksanaan Projek JENDELA Fasa 2 bagi tujuan perluasan liputan dan penambahbaikan perkhidmatan.


“Dalam masa yang sama, kementerian itu turut menjelaskan bahawa beberapa kampung lain di kawasan berkenaan telah menerima kemudahan menara komunikasi di bawah JENDELA Fasa 1.


“Bagi Kampung Betutai, menara komunikasi telah beroperasi sejak 6 Ogos 2024. Bagi Kampung Lokos pula, menara telah diserahkan kepada pemberi perkhidmatan pada 3 September 2025 dan dijangka mula beroperasi pada penghujung Februari 2026,” tambah Madius lagi.


Pengerusi POIC Sdn. Bhd itu juga turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian atas keprihatinan terhadap isu yang dihadapi penduduk luar bandar di kawasan berkenaan.


“Saya menghargai keprihatinan pihak Kementerian Komunikasi yang telah mengambil maklum isu ini dan bersetuju memasukkan beberapa kampung yang dibangkitkan ke dalam perancangan pelaksanaan projek JENDELA Fasa 2


“Langkah memasukkan Kampung Mangkaladoi, Kampung Koporingan dan Kampung Minangkob dalam perancangan JENDELA Fasa 2 dilihat sebagai perkembangan penting dalam usaha merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar Sabah, khususnya di daerah Tuaran,” ujar Madius lagi.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page