Sokongan Untuk Ewon Terus Mengukuh di Kadamaian
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
10 Mac 2026
KOTA BELUD: Keyakinan terhadap kepimpinan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, terus mengukuh apabila lebih daripada 60 penduduk dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kaung Ulu Jumaat lalu secara rasmi menyertai parti itu.
Kemasukan beramai-ramai yang berlangsung di Kampung Kaung Sokid menyaksikan penyerahan borang keahlian dilakukan sejurus selepas majlis perasmian Dewan Terbuka Kampung Kaung Sokid oleh Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.
Menurut Ketua Cawangan UPKO Kampung Kaung Sokid, Geoffrey Magaran, gelombang keahlian baharu ini menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap hala tuju parti di bawah pimpinan Ewon, khususnya dalam merealisasikan pembangunan menyeluruh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

"Rakyat Kadamaian semakin bijak dalam memilih pemimpin yang benar-benar mewakili suara dan aspirasi mereka. Kepimpinan Ewon terbukti membawa pembangunan hingga ke peringkat akar umbi," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam ucapannya, Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengankutan, memberi jaminan bahawa agenda pembangunan di kawasan itu akan terus dilaksanakan secara menyeluruh berpandukan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang diilhamkan oleh beliau sendiri untuk memacu kemajuan ekonomi, infrastruktur, dan sosial merangkumi 74 buah kampung di DUN Kadamaian
"Komitmen saya adalah untuk memastikan tidak akan ada kampung yang tercicir daripada arus pembangunan, sama ada dari segi infrastruktur, sosio-ekonomi, pendidikan, mahupun keagamaan. Walaupun keluasan DUN Kadamaian merangkumi 60 peratus daripada keluasan Daerah Kota Belud yang mempunyai empat DUN termasuk Tampasuk, Usukan dan Pintasan, itu bukanlah alasan bagi saya untuk tidak memberikan yang terbaik kepada kawasan yang saya jaga," tegas Ewon ketika berucap merasmikan dewan terbuka berkenaan.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi Kadamaian atas sokongan berterusan yang diberikan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Bahagian merangkap Setiausaha Politik kepada Ewon, Carlye Lajimin, Setiausaha UPKO Bahagian Kota Belud, Anichlose Kesimin, Ketua Cawangan UPKO Kaung Siba, Berahim Mangki, Ketua Cawangan UPKO Lobong-Lobong, Solumin Solinu, serta barisan kepimpinan parti dan pemimpin kampung setempat.











