Empat Kenderaan Bertembung, Seorang Parah, 10 Cedera.
- nabalunews
- Aug 23, 2025
- 1 min read

23 Ogos 2025
TUARAN: Seorang pemandu parah manakala 10 lagi cedera dalam kejadian kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Minangkop, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa berusia 35 tahun yang memandu Toyota Vios dilaporkan parah selepas tersepit di dalam kenderaannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.33 petang.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba dilokasi kejadian, kemalangan melibatkan empat kenderaan iaitu dua kereta pacuan empat roda Toyota Hilux Vigo, Toyota Vios dan Suzuki Jeep.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan pasukan operasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa terus diberikan rawatan awal oleh pasukan medic bomba, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, semua mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.42 petang,” katanya.















Comments