EMPAT KLUSTER BAHARU LIBATKAN TEMPAT KERJA DI SABINDO, KARAMUNSING, KOTA KINABALU, KALABAKAN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

EMPAT KLUSTER BAHARU LIBATKAN TEMPAT KERJA DI SABINDO, KARAMUNSING, KOTA KINABALU, KALABAKAN



20 Mei 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Empat kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan tempat kerja di sebuah kilang Sabindo, kedai elektrik Karamunsing, Hyatt Centric Hotel Kota Kinabalu dan pekerja kilang pemprosesan di Ladang Sawit Silimpopon. Kluster-kluster itu dikenali sebagai Kluster Jalan Pengalat Lok Kawi di Papar, Kluster Lorong Karamunsing di pusat Bandaraya Kota Kinabalu, Kluster Jalan Tun Fuad di pusat Bandaraya Kota Kinabalu dan Kluster Jalan Kretam Silimpopon di daerah Kalabakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Pengalat Lok Kawi di Papar adalah kluster tempat kerja melibatkan para pekerja kilang CCK Fresh Mart Sabindo Papar. “Kes indeks merupakan lelaki, 32, petugas di unit kawalan kualiti (QC) kilang berkenaan dan mula bergejala sejak 10 Mei lalu sebelum disahkan positif PCR di Klinik Kesihatan Inanam pada 18 Mei. “Susulan kes itu, majikan telah menjalankan saringan di tempat kerja terhadap 69 warga kilang terbabit dan mendapati 15 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes. “Daripada jumlah itu, satu kes didaftarkan di Kota Kinabalu manakala 15 kes lagi di Papar. Aktiviti kawalan dan pengesanan masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, Kluster Lorong Karamunsing di pusat Bandaraya Kota Kinabalu juga merupakan kluster tempat kerja melibatkan kakitangan di kedai elektronik yang menular kepada generasi kedua iaitu ahli keluarga, selain daerah berdekatan terdiri daripada Putatan, Penampang dan Tuaran. Beliau berkata, kes indeks adalah pekerja lelaki membaiki komputer riba yang dikesan positif Covid-19 setelah menjalani saringan bergejala demam dan hilang deria bau di Permai Poliklinik Kota Kinabalu pada 9 Mei lalu dan telah dimasukkan ke PKRC HQ LAC untuk rawatan lanjut. “Daripada 89 sampel yang diambil menerusi saringan tempat kerja, 28 orang didapati positif termasuk 10 kes baharu yang direkodkan pada 20 Mei lalu dengan sembilan kes di Kota Kinabalu dan satu di Putatan. “Sementara itu, 51 sampel disahkan negatif dan 17 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes bagi kluster ini ialah 28 kes meliputi 21 Kota Kinabalu, tiga Putatan, dua Penampang dan dua lagi dari daerah Tuaran. Masidi berkata, Kluster Jalan Tun Fuad di pusat Bandaraya Kota Kinabalu merupakan kluster tempat kerja yang melibatkan pekerja tapak bina iaitu pembinaan bangunan bagi Hyatt Centric Hotel Kota Kinabalu. Katanya, kluster ini mula dikesan pada 15 Mei lalu apabila kluster indeks iaitu pekerja lelaki, 43, yang mempunyai gejala demam dan batuk menjalani saringan RTK Antigen di Permai Poliklinik Kota Kinabalu dan didapati positif. “Kes indeks telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut. “Pasukan kawalan yang mengarahkan ujian saringan berjaya mengambil 641 sampel dan mengesan 10 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes merangkumi tujuh kes di Kota Kinabalu, tiga di Penampang dan satu di Putatan.

“Manakala, 359 sampel pula didapati negatif serta 275 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan,” katanya. Kluster keempat ialah, Kluster Jalan Kretam Silimpopon Kalabakan mula direkodkan pada 14 Mei lalu di Hospital Tawau melalui saringan bergejala. Beliau berkata, kes indeks merupakan warganegara, lelaki, 33, pekerja kilang pemprosesan di Ladang Sawit Silimpopon. “Kes indeks mula mengalami gejala batuk dan demam sejak 08 Mei lalu sebelum disahkan positif Covid-19 oleh pihak hospital tersebut. Saringan kontak rapat yang dijalankan ke atas 142 orang mendapati 41 kontak dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah sebanyak 42 kes. “Manakala, 76 sampel didapati negatif dan 24 sampel masih menunggu keputusan ujian. Aktiviti pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan serta punca jangkitan masih dalam siasatan. “Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri kenduri Hari Ibu di Gereja Gabungan Silimpopon yang terletak bersebelahan Jalan Kretam, Silimpopon di dalam ladang berkenaan,” katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page