Empat lelaki ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Penampang
- nabalunews
- Nov 10, 2024
- 1 min read

10 November 2024
PENAMPANG: Empat lelaki ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Kota Kinabalu - Penampang, berhampiran SMK Bahang semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, menyatakan bahawa keempat-empat individu tersebut ditahan di bawah Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun serta denda antara RM10,000 hingga RM30,000 bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.
“Seramai 75 individu telah diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya menerusi perkongsian Facebook Polis Daerah Penampang.
Sepanjang operasi, sebanyak 70 kenderaan diperiksa, dan pihak polis turut mengeluarkan 19 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Operasi yang bermula semalam dan diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik Daerah (KBSPTD) Penampang, Inspektor Rozami Hj Ahmad, bersama seorang pegawai kanan polis serta lapan anggota, berakhir pada jam 4.00 pagi tadi.















Comments