Empat Penumpang Feri Positif Dadah Ditahan
- nabalunews
- May 30
- 1 min read

30 Mei 2025
LABUAN: Kecekapan risikan dan tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membuahkan hasil apabila berjaya menahan empat individu positif dadah, semalam.
Semua empat individu terbabit yang menaiki kereta Proton Iswara Aeroback itu ditahan dalam pemeriksaan terhadap feri penumpang kenderaan yang sedang dalam perjalanan ke Labuan.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata, penahanan dibuat hasil maklumat risikan yang diterima dan tindakan susulan anggota Maritim Malaysia.

Katanya, pasukan Maritim Malaysia yang melakukan pemeriksaan rapi terhadap kenderaan berkenaan menemui beberapa jenis dadah dan peralatan menagih dadah.
“Pemeriksaan mendapati keempat-empat penumpang terbabit disyaki terlibat dengan aktiviti yang melanggar peruntukan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Mereka telah ditahan serta-merta untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Izwanhadi berkata, Maritim Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan perairan negara terpelihara daripada sebarang unsur jenayah, termasuk kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah.
"Maklumat risikan yang tepat dan kerjasama antara agensi menjadi kunci utama kepada
kejayaan operasi ini.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan pemeriksaan, khususnya di kawasan strategik seperti laluan feri," katanya.

Sehubungan itu, Izwanhadi berkata, masyarakat diminta supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan negara ini.
Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan 999.
Comments